Oleh Natirah Azira • 1 Oct 2020 • 2 min baca
Apa yang pernah kita ketahui sejak sekian lama, syarat untuk mengambil wuduk daripada suatu kolah atau bekas yang besar, isipadunya mestilah mencukupi dua kolah, kira-kira 200 liter. Jika tidak ia akan menjadi air musta’mal yang tidak lagi boleh digunakan untuk berwuduk setelah digunakan pada kali pertama.
Namun, pemahaman ini sebenarnya kurang tepat. Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, tidak disyaratkan sebenarnya air mutlak yang digunakan untuk mengangkat hadas, sama ada kecil atau besar mestilah lebih daripada dua kolah. Hukum penggunaan dua kolah hanya merujuk kepada status takungan air yang dimasuki najis; sama ada ia berubah atau tidak berubah menjadi air mutanajjis yang tidak boleh digunakan untuk bersuci, sebenarnya bergantung kepada isipadu air dan berubah atau tidak air tersebut.
Justeru tidak salah mengambil wuduk daripada bekas yang kecil seperti gayung tanpa menjadikan air itu berubah ‘musta’mal’ apabila dicelup. Bagaimana? Iaitu dengan berniat bahawa tangan yang dicelup itu dilakukan untuk niat mencebok (ightiraf).
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, yang menyebut dalam Kitab Al-Qowim (hlm.13):
“Seseorang yang berwuduk dengan tangan dimasukkan ke dalam air yang sedikit, selepas dia membasuh muka, tanpa berniat dilakukan untuk mencebok, maka baki air yang sedikit tadi itu berubah menjadi air musta`mal”
Berikut adalah cara Baginda Rasulullah SAW berwuduk daripada bekas yang kecil:
1. Menuangkan air dari gayung ke tapak tangan (tidak mencelup tetapi menuang untuk pertama kali) lalu mencuci tangan 3 kali.
2. Memasukkan tangan ke dalam gayung lalu mengambil air untuk berkumur-kumur sebanyak tiga kali.
3. Memasukkan air ke hidung lalu mengeluarkan kembali dengan tiga kali cedukan.
4. Memasukkan tangan ke dalam gayung lalu mengambil air dan membasuh muka tiga kali.
5. Membasuh kedua tangannya sehingga siku sebanyak tiga kali.
6. Menyapu kepala.
7. Membasuh kedua-dua kaki sehingga buku lali sebanyak tiga kali.
Perbuatan mengambil wuduk daripada bekas ini dilakukan dengan memindahkan air daripada bekas dan membasuh bahagian anggota wuduk di luar bekas.
Manakala percikan atau baki air basuhan pada tapak tangan yang digunakan untuk meratakan air pada bahagian-bahagian yang berbeza, kemudian dicelup pula ke dalam gayung tidak menjadikan baki air itu musta’mal. Demikianlah cara-cara yang boleh dilakukan untuk berwuduk daripada bekas yang kecil. Hikmahnya, air yang diperlukan untuk berwuduk sedikit sahaja dan dapat menjimatkan penggunaannya.
Sumber rujukan:
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.