Berpuasa sunat dalam bulan Muharam adalah ibadah puasa yang sangat digalakkan setelah puasa dalam bulan Ramadan, khususnya pada hari Tasuu’a yang bermaksud hari ke-9 dan Asyura’ iaitu hari ke-10.
Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan daripada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari, no.1867 – Status Hadis Sahih)
Menurut kisah yang terkandung dalam hadis-hadis daripada baginda, hari ke-10 Muharam adalah hari yang diagungkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani kerana ia adalah hari di mana Nabi Musa mengalahkan Firaun.
Lalu Rasulullah berkata,
“…kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka, maka berpuasalah.” (HR. Bukhari, no.4312 – Status Hadis Sahih)
Walau bagaimanapun, bagi membezakan sedikit ibadah kaum Muslim dengan Kaum Yahudi dan Nasrani, maka Rasulullah SAW juga menyuruh umat Islam berpuasa pada hari ke-9 yang dipanggil Hari Tasuu’a.
Namun jika tidak mampu atau telah terlepas berpuasa pada hari ke-9 (Tasuu’a) kerana terdapat halangan atau kekangan, maka anda boleh juga berpuasa pada hari Asyura sahaja atau lebih baik lagi ditambah dengan sehari selepasnya iaitu pada 11 Muharam.
Menurut hadis riwayat Muslim, antara kelebihan yang tersedia buat orang yang melaksanakannya adalah ia mampu menjadi penebus dosa setahun yang lalu.
Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:
Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim, no.1976 – Status Hadis Sahih)
Pada tahun ini puasa Tasuu’a jatuh pada hari Jumaat iaitu esok, 28 Ogos 2020 manakala Hari Asyura pada 29 Ogos 2020.
Jika tiada halangan untuk berpuasa, maka apa salahnya kita mengambil peluang besar ini, bukan hanya kerana ganjaran pengampunan dosa setahun yang lalu, malah ia ibadah yang mampu meningkatkan lagi rasa kehambaan dan keinginan untuk dekat denganNya.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.