Apabila menyertai misi dakwah atau kemanusiaan sama ada yang melibatkan bukan Islam atau Islam sendiri, pastinya salah satu misi utama yang ditekankan adalah untuk membawa masyarakat mengenal Islam dengan lebih dekat selain daripada menyampaikan bantuan dan sebagainya.
Tak dapat dinafikan, ia adalah salah satu perkara mulia, namun jangan sehingga memaksa sehingga menampakkan Islam itu sebagai agama paksaan.
Ada juga yang bertuah apabila tujuan dakwah itu sampai; apa yang dinyatakan dapat difahami dan diamalkan dengan baik serta paling menggembirakan jika mampu membawa orang masuk Islam.
Dikatakan bahawa banyak kelebihan yang diganjarkan buat mereka yang mampu menarik orang masuk Islam.
Sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran seperti mana orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2674)
Sebenarnya, setiap daripada kita yang menunjukkan jalan kebaikan tidak kiralah kepada orang Islam sendiri mahupun bukan Islam, pasti ada ganjaran buatnya. Dan ia adalah sama dengan orang yang menunjukkan Islam kepada orang lain.
Dalam hadis ini juga disebut bahawa ganjaran orang yang menyeru ke arah kebaikan adalah sama dengan orang yang melakukannya.
Sebagai contoh, jika anda mengajak kawan anda untuk solat, maka ganjaran anda sama dengan pahala solat itu. Hebat kan?
Berbalik kepada ganjaran kita menyeru orang masuk Islam; kita menyedari besar ganjarannya kerana perjalanan di sebaliknya itu bukan mudah. Pasti banyak liku yang perlu diharungi dalam kita ingin membawa nama baik Islam sendiri.
Sehinggakan banyak dalil yang menyebut akan ganjarannya. Namun, kesahihannya perlu diteliti.
Maksud: “Barangsiapa yang tangannya mengislamkan seseorang, maka wajib baginya untuk mendapat syurga.”
Hadis ini dikatakan telah diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir. Namun, menurut perbincangan ulama, hadis ini dinilai palsu kerana perawi di dalamnya adalah pendusta.
Hal ini dilihat oleh Imam Ibn Al-Jauzi dan Imam Suyuthi yang menghukum hadis ini sebagai palsu. Syeikh Ibn ‘Arraq dan Imam Al-Saghani juga menilainya sebagai palsu disebabkan oleh perawinya yang tidak dipercayai.
Justeru, dalam kita melihat kepada dalil mengenai ganjaran yang ada, kita perlu menilai akan status hadis tersebut.
Tidak dinafikan banyak hadis yang boleh disandarkan kerana kesahihannya, namun hadis mengenai ganjaran mendapat syurga itu adalah palsu.
Wallahu a’alam
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.