Gaya Hidup

Balaslah Kebaikan Walau Dengan Doa

Oleh Natirah Azira  •  17 Aug 2020  •  2 min baca

Selama kita hidup, sudah berapa ramai agaknya orang yang berjasa pada kita?

Ibu ayah, ahli keluarga, guru, rakan sekelas, rakan sekerja, majikan, mak cik tukang masak yang menyediakan makanan, pak guard yang menjaga keselamatan tempat tinggal, tukang sapu yang memastikan kawasan bersih.

Mereka termasuklah orang yang mungkin tidak mengenali kita tetapi pernah membantu. Contohnya orang yang pernah mengangkatkan barang, dan yang pernah membayarkan wang tatkala kita tidak cukup untuk membayar.

Jika dikira, tidak mustahil ia mencapai angka ratusan bahkan ribuan.

Mungkin kita beralasan bahawa tidak perlu membalas dan menghargai mereka kerana itu memang sudah tanggungjawab dan kewajipan mereka. Kita jadi orang kurang menghargai.

Sedangkan bukankah penghargaan kepada seseorang akan menjadikan hidup ini lebih indah, yang tidak berfungsi hanya kerana duit semata-mata.

Penghargaan Akan Memupuk Rasa Ikhlas

Mengapa saya katakan penghargaan akan memupuk rasa ikhlas?

Pernahkah anda dihargai oleh seseorang, dan ia membuatkan anda ingin melakukan kebaikan lagi tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Penghargaan yang ditunjukkan oleh seseorang menjadikan kita seorang yang tidak berkira.

Penghargaan itu pula boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Contohnya memberi balasan balik dalam bentuk hadiah, belanja atau semudah ucapan terima kasih. Bahkan jika tidak mampu membalas apa-apa, balaslah dengan doa sekalipun.

Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang kepentingan menghargai orang dalam sebuah hadis.

مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.” (Riwayat Abu Daud, no.1672)

Ya, cara yang paling mudah ialah berdoalah yang baik-baik buat mereka jika kita sukar membalas semula kebaikan mungkin kerana faktor jarak jauh dan masa yang terhad.

Namun, jika kita langsung tidak ada rasa ingin menghargai orang, ia barangkali bukan kerana kita tidak dihargai, tetapi kita tidak benar-benar melihat apa yang telah mereka lakukan buat kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami