Oleh Fizah Lee • 14 Aug 2020 • 3 min baca
Dalam kita berdoa, kadang-kadang kita nak cepat. Ada masanya sehinggakan sesebuah ungkapan pun kita akan cenderung untuk memendekkannya. Contohnya, ucapan basmallah hanya disebut sebagai Bismillah tanpa disebut secara penuh, iaitu dengan tambahan Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
Sedangkan, apabila diamati maksudnya adalah lebih besar dan lebih disukai. Maksud ungkapan basmallah yang penuh adalah – “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”
Bila kita berdoa diiringi dengan puji-pujian, nescaya ia akan lebih mudah untuk dikabulkan. Sebagaimana ada sebuah riwayat daripada Nabi SAW;
Maksud: “Ketika Baginda sedang duduk bersama-sama kami (di masjid), tiba-tiba ada seseorang yang masuk lalu bersolat. Setelah itu, orang tersebut terus sahaja berdoa (dengan katanya): “Ya Allah, ampunilah dan sayangilah aku.” Maka, Rasulullah pun menegur: “Kamu terburu-buru wahai orang yang bersolat. Apabila kamu menunaikan solat lalu kamu duduk, ucapkanlah pujian kepada Allah dengan pujian yang sewajarnya bagi Allah dan berselawatlah kamu kepadaku kemudian berdoa.” Setelah peristiwa itu, mereka yang lain apabila melaksanakan solat, mereka akan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi SAW. Kemudian, Baginda bersabda: “Wahai orang yang solat, berdoalah. Sudah tentu doamu akan dimakbulkan.” (Hadis Riwayat Tirmizi, 11/380, no. 3398)
Jadi, dapat difahami di sini ialah apabila kita berdoa, mulakan ia dengan pujian kepada Allah dan juga perbanyakkan selawat kepadaNya.
Kalau kita nak minta dengan manusia pun, pasti kita akan memulakan dengan pujian dulu, cakap perkara yang baik-baik dan tidak melulu. Barulah manusia itu dilembutkan hati untuk memberi pertolongan kepada kita.
Jadi, samalah dalam usaha kita untuk meminta kepada Allah. Pengagungan kepadaNya itu perlu lebih besar melebihi segalaNya sebab Allah yang Maha Menguasai setiap sesuatu.
Tetapi, mungkin ada sesetengah situasi juga di mana kita kadang-kadang tergesa-gesa sehingga tidak sempat untuk memujiNya. Contohnya, kita terlalu lapar sehingga hanya sempat membaca ‘Bismillah’ sahaja berbanding dengan ‘Bismillahirrohmanirrohim.”
Dalam hal ini, ulama berpendapat bahawa bacaan basmallah sebelum makan itu adalah sunat. Lafaznya doanya adalah ‘dengan nama Allah’ dan ditambah dengan pujian ‘Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”
Maka, boleh sahaja untuk membaca basmallah bukan secara penuh. Namun, perlu diingat bahawa puji-pujian itu diibaratkan sebagai iringan yang perlu disertai dalam berdoa.
Imam Nawawi ada menyebut – “Di antara perkara penting yang mesti seseorang itu tahu mengenai sifat basmallah dan kadar (minima) yang cukup daripadanya (ketika dilafazkan) … ialah sebaik-baik lafaz (afdal) apabila seseorang menyebut بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. Walau bagaimanapun, jika dia hanya menyebut بِسْمِ اللَّهِ sudah cukup baginya dan dia mendapat pahala sunat.” (Al-Azkar, 388)
Tuntasnya, dapat kita faham bahawa boleh sahaja membaca basmallah tanpa penuh, namun yang lebih baik dan dianjurkan adalah disertai dengan puji-pujian kepadaNya. Begitu juga dalam doa yang lain.
Walau bagaimanapun, lain halnya dengan bacaan bismillah pada bacaan Al-Fatihah dalam solat, ia mesti dibaca secara penuh kerana dikira sebahagian daripada Surah Al-Fatihah.
Lazimi untuk memuji Allah dan berselawat kepada Baginda SAW agar doa itu lebih mudah untuk dikabulkan olehNya.
Wallahua’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.