“Eish, banyaknya masalah. Motor rosak lagi. Banyak duit pula nak kena pakai ni nak baiki motor. Entah cukup ke sampai hujung bulan nanti.”
Itulah manusia. Hari-hari pasti ada sahaja liku-liku kehidupan yang perlu dilalui. Kadang, ada hari yang penuh dengan pelangi, tetapi ada juga yang perlu dilalui dengan hujan, guruh, badai dan ombak. Semua itu adalah fitrah ujian terhadap manusia.
“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Surah Al-Anbiya’, 21:35)
Apabila diuji, apa yang perlu kita lakukan adalah sabar, ambil masa untuk berehat dan teruskan melangkah. Jangan sedih atau jatuh tersungkur dengan ujian itu terlalu lama. Bimbang, jika itulah yang boleh menjauhkan diri kita dengan Allah.
Ada beberapa kaedah yang telah dikongsikan mengenai bagaimana cara untuk mengawal tekanan dan menghadapi ujian dalam hidup ini dengan hati yang lapang. Antaranya ialah;
Tiba-tiba projek yang anda sedang usahakan ditarik balik oleh majikan anda kerana kekangan bajet. Ia pasti menjatuhkan sedikit motivasi dan semangat anda kerana ia merupakan salah satu projek yang anda ingin melihat keberhasilannya.
Apabila diuji begini atau dengan ujian-ujian lain, sabar. Ambil masa untuk bertenang dan tarik nafas dalam-dalam. Jika anda terlalu mengikut perasaan sehingga boleh menyebabkan panas baran atau pergaduhan, itu adalah suatu keburukan dan kesan daripada anda tidak bertenang.
Apabila bertenang, fikiran anda lebih luas dan boleh berfikir dengan lebih tenang. Siapa tahu, mungkin anda boleh memikirkan penyelesaian yang lebih baik atau mencari idea baru.
Tidak kiralah sama ada masalah yang dialami itu besar atau kecil, dua perkara ini sangat penting untuk diaplikasikan.
Kalau laptop anda buat hal; contohnya tiba-tiba tidak berfungsi dan menunjukkan isyarat ‘loading’, apa yang anda akan buat? Ada orang, dia akan cuba untuk tekan mana-mana butang agar ia boleh kembali berfungsi sedangkan perkara itu boleh menyebabkan laptop anda mengambil masa yang lama untuk elok.
Apa kata, beri ruang kepada laptop anda untuk ‘loading’ dahulu supaya ia tidak akan memburukkan keadaan. Jika sudah terlalu lama, barulah fikir penyelesaian yang lain yang lebih baik.
Begitu juga dengan diri anda. Apabila ada masalah yang melanda, cuba relaks. Kata kepada diri anda bahawa semuanya akan menjadi baik-baik sahaja.
Apabila diri anda sudah dijamu dengan kata-kata yang positif, maka secara tidak langsung hati anda juga akan lebih positif dan tidak mudah melenting dengan setiap perkara yang terjadi.
Lebih baik jika kata-kata itu datang dari diri anda sendiri. Sebab jika bukan anda yang percaya kepada diri anda, siapa lagi?
Terlalu fokus kepada kerja dan kehidupan seharian juga tidak boleh. Memang, ia adalah tuntutan yang perlu dilakukan, namun anda perlu ingat bahawa kesihatan emosi dan juga diri sendiri adalah penting dan hak yang perlu dijaga.
Sekali-sekala, ambil masa untuk lari daripada kerja atau masalah anda dengan bersenam. Sama ada ia adalah senaman yang ringan atau berat, boleh sahaja dilakukan berdasarkan kemampuan.
Sambil-sambil beriadah, anda boleh melihat keindahan alam, jika ia dilakukan di kawasan tasik atau luar. Namun, jika ia dilakukan di gim dan tempat-tempat tertentu seperti tempat futsal dan dewan badminton, maka anda boleh fokus kepada permainan tersebut untuk melepaskan bebanan fikiran anda.
Boleh sahaja ambil masa hari minggu untuk bersenam. Ia tidak semestinya dilakukan pada setiap hari. Sebagai permulaan, boleh dilakukan pada waktu senggang anda.
Belajar untuk urut bahagian otot anda apabila lenguh atau berasa tertekan. Urut bahagian bahu atau leher untuk membantu melancarkan aliran darah.
Perkara ini penting bagi membantu mengawal kesihatan dalaman anda. Anda boleh belajar urutan mudah yang boleh diamalkan sewaktu sedang dalam pekerjaan.
Tuntasnya, setiap manusia mempunyai masalah dan sedang berjuang untuk mengharungi kehidupannya.
Apa yang boleh dilakukan adalah menghadapinya dengan tenang dan penuh positif agar setiap masalah itu dapat membantu menguatkan kita untuk masa hadapan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.