Gaya Hidup

3 Nafkah Kepada Haiwan Peliharaan Yang Perlu Ditunaikan

Oleh Fizah Lee  •  13 Aug 2020  •  3 min baca

Islam menuntut kita untuk bersikap ihsan terhadap sekeliling sama ada kepada sesama manusia, kepada alam sekitar dan juga haiwan. Setiap makhluk di dunia ini mempunyai hak yang perlu dijaga dan saling berkait.

Jika anda ada membela kucing sebagai haiwan peliharaan, anda perlu menjaga kucing tersebut dengan baik dan ‘mendidiknya’ agar tidak membuat onar. Memang, pada awalnya bukan mudah untuk mengajar mereka kerana haiwan adalah makhluk yang tidak berakal.

Namun, ia boleh dilatih secara perlahan-lahan. Kalau kita lihat perkongsian yang dikongsi di laman-laman sosial pun, pasti ada yang menceritakan kisah menarik apa yang haiwan peliharaan mereka boleh buat.

Berbalik kepada kucing tadi; mulakan dengan ajar mereka supaya membuang najis di tempat yang khusus. Contohnya, sediakan bekas atau tempat mereka buang najis.

Lama-kelamaan, mereka akan terbiasa dengan perkara tersebut. Jadi, tidaklah timbul kisah-kisah jiran yang sakit hati dengan kucing anda sebab mereka membuang najis merata-rata atau di halaman jiran.

Yang paling penting ialah, anda sendiri yang perlu bertanggungjawab dengan haiwan peliharaan itu. Jika ia membuat masalah, anda yang perlu menanggungnya. Jadikan ia sebagai salah satu cara juga untuk mendidik diri anda agar lebih peka dan bertanggungjawab dengan sekeliling.

Jangan lepas tangan jika munculnya masalah daripada kucing anda. Menutup mata dengan kesalahan tersebut boleh menjadikan anda seorang insan yang tidak disukai bukan sahaja oleh manusia namun juga Allah.

Apa Nafkah Kepada Haiwan

Jika manusia perlu menunaikan nafkah kepada tanggungannya, maka mereka juga perlu menunaikan nafkah kepada haiwan peliharaannya.

Secara tak langsung, haiwan peliharaan juga sudah termasuk di bawah tanggungan seseorang. Tanggungjawab itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin berdasarkan kemampuan.

Apa nafkah kepada haiwan yang perlu dilaksanakan? Menurut ulama, hukum melaksanakannya adalah wajib. Imam Abu Syuja berkata:

وَنَفَقَة الرَّقِيق والبهائم وَاجِبَة

Maksud: “Dan bermula nafkah kepada hamba dan bahimah (haiwan ternakan) itu adalah wajib.” (Matan al-Ghayah wa al-Taqrib)

Menurut ulama, ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian, iaitu tempat tinggal, makanan dan minuman.

Jadi, haiwan yang dipelihara itu perlu diberi tempat tinggal yang selesa dan muat untuk mereka. Perlu juga dilihat berdasarkan kemampuan anda.

Jika tidak mampu, memberi kucing anda tidur di dalam kotak yang dialas dengan kain juga sudah memadai. Asalkan, ia selesa.

Ambil masa untuk mencuci dan membersihkan tempat tinggal mereka agar tidak terlalu berbau atau kotor.

Begitu juga dengan makanan dan minuman. Jangan dibiarkan ia kelaparan. Makanan dan minuman itu juga perlulah yang boleh memberi kesihatan kepada mereka.

Contohnya, elakkan memberi kucing makan ikan yang penuh dengan tulang. Bimbang nanti jika tulang tersebut boleh membuatnya tercekik dan melukakan tekak.

Tambah lagi, jika nafkah ini gagal diberikan sehingga menyebabkan haiwan itu terseksa atau mati, maka dia akan menanggung dosanya.

Sebagaimana sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:

Maksud: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa memberikan makan dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3318)

Kesimpulan

Justeru, dapat kita faham di sini bahawa tugas membela haiwan itu bukanlah suatu yang boleh diambil mudah. Tanggungjawabnya perlu dilaksanakan dengan baik dan nafkahnya perlu dijaga. Sebagaimana kita semua mempunyai hak terhadap sesama manusia, begitu juga dengan haiwan.

Jika dirasakan tidak mampu atau tidak berkesempatan untuk menjaga haiwan disebabkan kekangan masa atau tuntutan kerja, maka pilihlah cara yang terbaik. Sama ada meminta tolong orang lain untuk menguruskannya atau tidak membelanya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami