Hukum

Hukum Membasuh Anggota Wuduk Melebihi Tiga Kali

Oleh Fizah Lee  •  14 Aug 2020  •  2 min baca

Wuduk ialah simbol penyucian diri daripada dosa yang kita lakukan. Manusia itu sifatnya tidak lari daripada melakukan dosa dan pahala.

Ia bukan sahaja boleh dilakukan sebelum menunaikan solat, namun boleh sahaja pada bila-bila masa. Banyak kelebihan buat mereka yang mengamalkan wuduk terutamanya sebelum meninggalkan rumah.

Wuduk bermaksud menggunakan air dengan berniat untuk membersihkan anggota wajib bagi menghilangkan hadas kecil. Jika ibadah solat dilakukan tanpa wuduk, maka ia adalah tidak sah dan sia-sia.

Rukun wuduk yang wajib dibasuh ialah seluruh muka disertai niat, membasuh tangan hingga ke siku, membasuh sebahagian daripada kepala sekurang-kurangnya dengan membasahkan tiga helai rambut, membasuh kaki sehingga ke buku lali dan tertib.

Sunnah mengambil wuduk dengan tiga kali basuhan. Ia adalah untuk mengelakkan pembaziran dan juga untuk mengelakkan daripada membasuh dengan terlalu sedikit.

Maksud: “Beliau (Usman) telah meminta air dan berwuduk berdekatan tempat duduk. Beliau telah berwuduk sebanyak tiga kali, tiga kali. Kemudian berkata kepada para sahabat Nabi SAW: “Adakah kau semua telah melihat Rasulullah melakukan begini?” Mereka menjawab: “Ya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 488)

Walau bagaimanapun, adakah dibolehkan untuk membuat basuhan melebihi tiga kali? Dalam hal ini, jumhur berpendapat bahawa ia adalah makruh kerana tidak mengikut sunnah dan boleh mengundang kepada pembaziran.

Melalui Imam Nawawi ada menyebutkan – “Para ulama telah bersepakat bahawa hukumnya ada makruh. Dan yang dimaksudkan tiga kali basuhan tersebut ialah aliran air yang mengenai seluruh anggota. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman. Maka, dua kali siraman itu baru dikira sebagai satu kali basuhan.” (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/109)

Justeru, dapat difahami di sini bahawa makruh hukumnya membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali. Walau bagaimanapun, wuduknya adalah sah dan masih boleh dibawa ke dalam solat.

Jika seseorang itu membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali kerana was-was dengan basuhan tersebut, maka perlu difahami di sini bahawa was-was itu merupakan sejenis penyakit dan ia adalah bisikan yang datang dari syaitan.

Jadi, seseorang itu perlu merawat penyakitnya itu dengan perkara-perkara yang telah diajarkan seperti memperbanyakkan istighfar dan sebagainya.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami