Najis mughallazah merupakan kategori najis yang sangat berat dan cara untuk menyucikannya juga berbeza. Ia perlu dicuci dengan air tanah dan juga air mutlak. Najisnya adalah daripada anjing dan babi serta yang mempunyai hubungan dengannya.
Kalau kita melihat ada anjing sewaktu dalam perjalanan untuk ke tempat kerja, pastinya kita sudah boleh mengambil langkah berjaga-jaga. Terutamanya jika anjing tersebut mengeluarkan najis.
Adalah lebih baik untuk mencegah dan mengelakkan diri daripada terkena najis mughallazah tersebut daripada perlu membersihkan najis tersebut.
Walau bagaimanapun, buat mereka yang tinggal di kawasan yang memang sudah menjadi laluan anjing, atau mungkin juga ada anjing peliharaan yang berkeliaran dan pelbagai lagi situasi yang wujud, kadang-kadang kita tidak sedar laluan tersebut ada najisnya seperti air kencingnya atau bekas laluannya.
Jadi, adakah dibolehkan untuk lalu di kawasan tersebut? Dalam situasi lain juga, kadang-kadang kita tidak sedar bahawa ada najis anjing di situ. Kalau di kawasan-kawasan kampung pula selalunya terkenal dengan kumpulan babi yang suka mengacau kawasan tanaman.
Dalam hal ini, jika diyakini bahawa pakaian atau kasut anda itu terkena najis, maka perlulah membasuhnya dengan air tanah dan air mutlak bagi menyucikan najis tersebut.
Adapun, jika tidak yakin dengan perkara itu kerana najisnya yang tidak nampak, maka keraguan itu lebih baik ditinggalkan.
Daripada Hasan bin Ali RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka, sesungguhnya kebenaran itu adalah sebuah ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah sebuah keraguan.”
Justeru, dapat difahami di sini bahawa jika najis itu dilihat dan diyakini terkena, maka wajib mencucinya dengan cara yang diajar syarak. Walau bagaimanapun, jika ia ragu-ragu dan tidak dilihat, maka ia adalah tidak mengapa.
Namun, jika berniat untuk mengambil langkah berjaga-jaga, maka boleh juga untuk menyucikannya dengan cara yang diajar iaitu satu kali basuhan dengan menggunakan air tanah, dan enam kali basuhan air mutlak.
Sumber:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.