Hukum

Bayar Hutang Dulu Baru Sedekah

Oleh Natirah Azira  •  28 Jul 2020  •  2 min baca

Amalan bersedekah sentiasa dipandang besar dalam Islam. Disediakan kelebihan buat mereka yang bersedekah contohnya dihapuskan dosa, dilipatgandakan pahala, dijauhkan daripada api neraka dan berbagai lagi.

Namun kadang-kadang kita melihat ada budaya yang nampak tidak kena dengan anjuran asal bersedekah iaitu bersedekah dalam keadaan diri masih mempunyai hutang. Golongan ini beralasan bahawa Allah akan mendatangkan rezeki untuk mereka melunaskan hutang dengan berkat sedekah yang diberikan.

Awas, inilah kepercayaan yang salah dalam Islam. Membayar hutang adalah wajib sedangkan memberi sedekah adalah sunat. Justeru, sudah pasti hal yang wajib lebih berat dan besar daripada perkara-perkara sunat.

Bahkan jika seseorang bersedekah dalam keadaan masih mempunyai hutang yang tidak dilunaskan, dia ibarat menyakitkan hati saudaranya. Lebih-lebih lagi apabila perbuatan tersebut diketahui, ia pasti mengundang rasa tidak senang orang yang memberikan hutang.

“Eh hutang tak bayar lagi sibuk nak bersedekah?”

Dalam keadaan ini, seseorang itu sebenarnya tidak boleh bersedekah dan wajib membayar hutang terlebih dahulu jika telah sampai tempoh waktu untuk dia membayar hutang. Dia perlu mendahulukan perkara yang wajib dahulu barulah sunat.

Hal ini kerana jika dia tetap bersedekah, dia membahayakan orang yang memberi hutang kerana bimbang jika si pemberi hutang memerlukan wangnya dikembalikan untuk kegunaan dirinya.

Badruddin al-Aini dalam Kitab Umdatul Qari, Syarh Sahih Bukhari menyebutkan bahawa syarat memberi sedekah adalah apabila orang yang memberi sedekah dan ahli keluarganya bukan dalam keadaan memerlukan, bahkan jika dia memiliki hutang, wajib melunaskan hutang itu terlebih dahulu. Ia lebih utama daripada sedekah atau memberi hadiah.

Imam Ibnu Utsaimin memberikan pandangan yang sedikit berbeza iaitu seseorang itu boleh bersedekah jika waktu untuk dia membayar masih jauh serta dia yakin mampu membayar hutang tersebut. Cara lain yang boleh dilakukan, seperti yang dikatakan oleh Buya Yahya, orang yang ingin bersedekah perlu meminta keizinan untuk bersedekah terlebih dahulu daripada orang yang dia berhutang. Jika diizinkan maka barulah boleh bersedekah.

Akhir kata, dalam beramal, kita perlu mengetahui peringkat keutamaan amalan. Tidak boleh berpegang kepada alasan seperti Allah akan menolong, atau bertawakkal tanpa sebarang usaha untuk melunaskan hutang. Hak sesama manusia perlu terlebih dahulu dijaga. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami