Sahwi atau secara bahasanya bermaksud lalai dari sesuatu. Jika seseorang lupa untuk melakukan sesuatu di dalam solatnya, maka ia dikira sebagai lalai.
Jadi, disunatkan ke atas insan tersebut untuk melakukan sujud sahwi. Ia merupakan dua kali sujud yang dilakukan pada akhir solat sebelum memberi salam. Tujuannya adalah untuk menutup kekurangan atau dalam bahasa kita ‘topup’ kembali kesalahan yang dibuat.
Antara sebab yang disunatkan melakukan sujud sahwi ialah disebabkan kekurangan atau kesilapan dalam solat, adanya penambahan dan juga timbulnya keraguan.
Dari Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Apabila azan dikumandangkan, syaitan berpaling sambil kentut sehingga dia tidak mendengar azan tersebut. Apabila azan selesai dikumandangkan, maka ia pun kembali. Apabila dikumandangkan iqamat, syaitan pun berpaling lagi. Apabila iqamat selesai dikumandangkan, syaitan pun kembali dan ia akan melintas di antara seseorang dan nafsunya. Dia berkata: “Ingatlah demikian untuk sesuatu yang sebelumnya dia tidak mengingatinya sehingga lelaki tersebut sentiasa tidak mengetahui berapa rakaat dia solat. Apabila salah seorang daripada kalian tidak tahu berapa rakaat dia solat, hendaklah dia sujud dua kali dalam keadaan duduk.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1231)
Namun, katakan jika berlaku kekurangan dalam solat dan anda juga terlupa untuk menunaikan sujud sahwi, bagaimana dengan solat tersebut?
Dalam hal ini, jumhur ulama berpendapat bahawa solatnya tetap sah walaupun tidak diganti dengan sujud sahwi. Hukum asal sujud tersebut ialah sunat, maka jika ditinggalkan kerana terlupa, maka ia adalah tidak mengapa.
Namun, jika ingat akan sujud tersebut, perlulah dilakukan. Jangan sengaja meninggalkan sujud sahwi jika teringat. Namun, jika terlupa tanpa sengaja, maka itu adalah kecuaian yang tidak dapat dielakkan.
Justeru, tidak perlu mengulangi solatnya kerana ia adalah sah.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.