Benarkah takdir seorang manusia itu boleh berubah dengan berdoa?
Bagaimana pula dengan hal kematian? Bukankah Allah telah menyebutkan bahawa tidak akan dilambatkan mahupun dipercepatkan kematian walau sesaat.
Bagi membincangkan persoalan ini, perlu dahulu kita tahu tentang takdir. Sebenarnya takdir boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu takdir mubram dan takdir mu’allaq.
Takdir mubram adalah takdir yang telah muktamad dan tertulis di Luh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau perubahan yang berlaku pada takdir ini.
Takdir muallaq ialah takdir yang tertulis dalam catatan para malaikat. Muallaq bermaksud tergantung. Ia boleh tetap dan boleh juga berubah bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia, namun dengan izin Allah jua.
Contoh takdir mubram adalah kematian yang akan dihadapi oleh manusia tidak kira dia siapa dan duduk di ceruk dunia mana pun ketika itu. Semua pasti akan merasakannya.
Namun dalam masa sama, perlu juga kita ketahui bahawa wujudnya takdir yang boleh berubah iaitu takdir muallaq. Seperti mana diterangkan dalam satu hadis bahawa,
Daripada Salman RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak ditolak satu-satu ketentuan melainkan dengan doa. Tidak ditambah pada umur kecuali dengan kebajikan.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2139)
Bermakna ada ketentuan yang boleh berubah disebabkan doa yang dipohon oleh seorang manusia kepada Allah SWT. Bahkan dalam satu hadis sahih yang lain disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa – jika ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka perlulah menghubungkan silaturahim.
Daripada Anas bin Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang suka untuk dimurahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hubungkanlah silaturrahim” (Riwayat al-Bukhari, no. 5985)
Pemahaman Tentang Takdir Mubram Dan Takdir Muallaq
Di sini para ulama’ bersetuju bahawa takdir muallaq ini memang ada berdasarkan pemahaman daripada hadis. Cuma mereka berbeza pendapat sama ada qadha’ mu’allaq itu berlaku dengan pertambahan umur manusia atau pertambahan keberkatan dalam hidupnya. Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan bahawa ia boleh dilihat daripada dua sudut iaitu:
1. Pertambahan itu bermaksud keberkatan pada umur dengan sebab usaha bersungguh-sungguh hambanya melakukan ketaatan kepada Allah dan memenuhi tempoh hidupnya dengan perkara yang bermanfaat buatnya di akhirat kelak.
2. Pertambahan itu benar-benar berlaku secara angka.
Antara konsep serta contoh yang disebutkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan sebagaimana di bawah:
1. Seorang lelaki ditakdirkan Allah SWT untuk hidup sehingga 72 tahun. Dengan amal kebaikan yang banyak dilakukan sepanjang hidupnya maka dia diberi keberkatan umur sepanjang hidupnya seperti hidup yang tenang, rezeki yang luas dan kesihatan tubuh badan seolah-olah kehidupannya sangat panjang.
2. Seorang lelaki ditakdirkan umurnya oleh Allah SWT dengan dua takdir; meninggal pada usia 57 tahun dan pada usia 72 tahun.
Takdir mubram adalah umur 57 tahun dan takdir mu’allaq adalah umur 72 tahun. Lelaki ini pada asalnya ditetapkan hidup hingga umur 57 tahun sahaja sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al-A’raf ayat 34 di atas. Namun kerana kebajikan yang dilakukannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Riwayat Tirmizi dan hadis Riwayat Al-Bukhari di atas, maka dia dipanjangkan umur sehingga 72 tahun.
Pendapat yang diterima oleh Ibnu Hajar ialah pendapat yang pertama. Manakala ilmuwan yang berpegang bahawa pertambahan umur benar-benar berlaku secara angka mengatakan bahawa ia adalah dalam kehendak Allah jua, maka Allah boleh melakukan segalanya.
Di akhirnya, yang perlu kita fokuskan adalah kepada usaha bagi mengisi usia yang ada. Dirahsiakan saat kematian agar kita boleh menjalani hidup tanpa ada rasa keluh kesah, bersedih sehingga tidak menikmati hidup serta berusaha menambah amal. Semoga dengan mengetahui tentang hakikat takdir ini, kita akan lebih memaknai usia yang ada.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.