Berzikir berasal daripada perkataan Arab ‘dzakara’ yang bermaksud mengingati. Dalam konteks ibadah, berzikir adalah mengingati Allah SWT dengan lisan atau melalui hati. Mengingati Allah dengan lisan termasuklah beristighfar, tahmid, takbir, bacaan Al-Quran dan sebagainya.
Bagaimana pula berzikir dengan hati? Adakah ia juga dikira sebagai ibadah dan mempunyai nilai pahala?
Imam Maimun Ibn Mihran berkata:
Maksudnya: “Zikir itu ada dua. Zikrullah dengan menggunakan lisan (lidah), dan yang lebih afdhal dari itu adalah kamu mengingatinya ketika mana kamu hampir melakukan maksiat.” (Rujuk Hilyah Al-Awliya’, Abu Nu’aim (4/87) )
Berzikir dalam hati juga dikira sebagai ibadah dan dituntut dalam Islam. Ia bererti seseorang itu mengingati Allah SWT di dalam hatinya, merasai kebesaran Allah dan ketinggian kedudukan Allah SWT. Perbuatan ini akan melahirkan sikap rendah diri, takut dan berharap hanya kepada Allah SWT.
Ia dikira sebagai zikir berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 205 yang bermaksud:
“Dan ingatlah Tuhan kamu di dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.” (Surah Al-A’raaf, no.205)
Justeru, boleh juga mengingati kebesaran dan kekuasaan Allah di dalam hati dan menyebut kalimah-kalimah zikir di dalam hati dalam masa sama merasa cinta, takut dan tawakkal kepada Allah. Namun lebih baik lagi jika berzikir juga dengan lisan, kemudian turut merasai keagungan Allah dalam hati.
Di akhirnya marilah kita sama-sama mengingatkan diri supaya sentiasa mengingati Allah agar hati tidak lalai dan hanya menurut hawa nafsu sahaja.
وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ
“Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya.” (Surah Al-Kahfi 18:28)
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.