Oleh Natirah Azira • 10 Jul 2020 • 2 min baca
Setelah berlalunya musim Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat beberapa bulan yang lalu, mungkin kita baru menyedari bahawa peluang menziarahi saudara mara, rakan mahupun jiran terdekat adalah nikmat yang jarang kita sedari.
Bukan hanya hubungan silaturahim yang boleh dihubungkan, kemesraan pula terjalin, malah orang yang suka menziarahi saudaranya, Allah menjanjikan kebaikan buatnya, dipermudahkan perjalanan serta disediakan tempat di syurga. Hebat bukan!
Nabi SAW pernah bersabda;
“Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, maka nanti akan diseru dengan kata-kata: engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” (Riwayat Al-Tirmizi, no 2008 – Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang ghorib)
Kini peluang tersebut terbuka kembali, dan kita boleh saling menziarahi. Walau bagaimanapun, jangan lupa, serapat mana pun kita dengan rakan-rakan atau saudara mara, adab menziarahi tetap perlu dijaga. Antaranya seperti:
1. Jika dijemput, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah siapakah yang akan datang dan berapa orang yang akan datang.
2. Beritahu waktu kedatangan dan maklumkan jika terlambat supaya tuan rumah tidak ternanti-nanti.
3. Tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
4. Raikan juadah yang dihidangkan meskipun tidak menepati selera.
5. Jauhi juga perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah seperti membazirkan makanan yang diambil atau mengotorkan alas meja.
6. Prihatin dengan keperluan ahli keluarga tuan rumah yang dikunjungi, contohnya anak-anak kecil atau ibu bapa mereka yang memerlukan perhatian.
7. Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan tuan rumah.
8. Tidak menghabiskan masa terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk.
9. Memilih waktu yang sesuai untuk berkunjung. Jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau ada kecemasan, maka dibenarkan.
Sebagai tetamu, prihatinlah dengan keadaan dan situasi tuan rumah. Peliharalah adab-adab yang telah disebutkan. Sebagai tuan rumah pula, muliakanlah tetamu sebaik-baiknya. Semoga ia mendatangkan rahmat dan keberkatan kepada kedua-dua pihak.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.