Oleh Natirah Azira • 3 Jul 2020 • 3 min baca
Sejak kecil, kita sudah banyak belajar. Banyak juga ilmu yang kita tahu sungguhpun tidak mendalaminya seperti orang yang benar-benar mahir dalam lapangan tersebut. Namun, adakah ilmu tersebut membekas di dada dan memberi manfaat kepada diri atau hanya sia-sia dan lama-kelamaan dilupakan.
Ilmu bertukar menjadi amalan.
Itulah sebenarnya target kita lebih-lebih lagi dalam ilmu agama atau yang berkaitan cara dan gaya hidup Islam. Jadi, berikut adalah tanda bahawa ilmu yang dimiliki sudah dimanfaatkan.
Tanda ilmu itu telah memberi manfaat kepada seseorang adalah apabila dia menjadi takut kepada Allah. Seterusnya dia takut melakukan dosa dan maksiat serta sentiasa berusaha memperbaiki dirinya ke arah yang lebih baik.
Allah Taala berfirman,
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Al-Fathir 35:28)
Ulama di sini bermaksud orang yang memiliki ilmu dan ilmu tersebut menjadikan dia seorang yang lebih taat. Kata Ibnul Qayyim; “…semakin hilang ilmu, semakin hilanglah rasa takut. Jika takut hilang, maka ilmu pun akan makin redup.” (Syifa’ Al-‘Alil, 2:949)
Al-Hasan Al-Basri berkata, “Sesungguhnya orang yang berilmu adalah orang yang zuhud pada dunia dan semangat mencari akhirat. Ia faham akan urusan agamanya dan rutin melakukan ibadah pada Rabbnya.”
Ibnul Mubarak pernah berkata bahawa beliau lebih dahulu lama belajar tentang adab iaitu selama 30 tahun sedangkan ilmu dipelajari selama 20 tahun. Ia menjadi tradisi para ilmuwan terdahulu untuk lebih mendalami adab sebelum ilmu.
Jadi, sudah pasti adab itu tetap tidak akan hilang apabila sudah mencapai suatu ilmu.
Tawaduk adalah sikap orang yang rendah hatinya kepada Allah serta dalam kehidupannya dengan manusia secara umum. Orang yang tawaduk sedar bahawa dia mungkin melakukan kesilapan, jadi dia mudah menerima teguran dan kebenaran daripada sesiapa pun.
Sekalipun sudah memiliki suatu ilmu, ia tidak menjadikan orang itu sombong. Dia tidak menunjuk-nunjuk apa yang diketahuinya di hadapan orang bagi meraih pujian dan kemasyhuran.
Orang yang ilmunya bermanfaat juga akan menjadi lebih bertanggungjawab dalam hidup. Dia tahu bahawa ilmunya perlu diamalkan, jika tidak ilmu itu tidak ada gunanya.
Jika ilmu itu adalah tentang harta, maka dia lebih amanah dan bersungguh mencari rezeki. Jika ilmu kekeluargaan pula, maka dia akan menjadi seorang anak yang taat, pasangan yang setia, ibu bapa yang melindungi serta menjaga kebajikan ahli keluara, begitulah seterusnya dengan ilmu-ilmu lain.
Ilmu hakikatnya adalah amanah serta tanggungjawab yang perlu dipelihara dan dijalankan sebaiknya. Berdoalah kepada Allah agar kita sentiasa dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh.
Dinukil dari bahasan Syaikh ‘Abdullah Al-Fauzan, dalam Minhah Al-‘Allam (10:475-476).
(Allahummanfa’nii bimaa ‘allamtanii wa ‘allimnii maa yanfa’unii, wa zidnii ‘ilmaa)
“Ya Allah, berilah manfaat pada ilmu yang telah Engkau ajarkan padaku, ajarilah aku hal-hal yang bermanfaat untukku, dan tambahkanlah aku ilmu.” (HR. Ibnu Majah, no. 251 dan Tirmidzi, no. 3599, sahih)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.