Gaya Hidup

4 Tips Menangani Perasaan Iri Hati

Oleh Fizah Lee  •  6 Jul 2020  •  3 min baca

Masih ingat akan kisah masyhur Habil dan Qabil yang saling bergaduh dek merebut pasangan? Sedangkan jika diamati peraturan yang wujud ketika itu ialah, kembar tidak boleh berkahwin dengan kembarnya sendiri.

Saudara kembar Qabil yang bernama Iqlima telah dijodohkan dengan Habil. Namun, kerana timbulnya perasaan iri dengan Habil akibat mendapat perempuan yang sangat cantik yang tidak setanding dengan pasangannya, mereka telah bergaduh.

Pergaduhan tersebut yang boleh diselesaikan secara baik, namun berakhir dengan tragedi pembunuhan pertama yang berlaku dalam sejarah umat manusia membuktikan bahawa penyakit iri hati sangatlah berbahaya.

Manusia akan dibutakan dengan apa yang ada di depan mata sehingga terhijab untuk melihat perkara yang baik dan kebenaran apabila hatinya sudah ditutupi dengan perasaan dengki.

Begitulah juga kita pada hari ini. Apabila melihat kisah dan berita yang berlaku pada hari ini membuktikan bahawa masalah dengki dan iri hati berleluasa dalam kalangan kita.

Semua orang pasti pernah ada atau mengalami perasaan ini hatta mereka yang beriman juga mungkin tidak akan terlepas daripada masalah ini.

Mafhum: “(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.” (Surah Yusuf, 12:8)

Bermula dari zaman Nabi Adam, kemudian dapat kita lihat sikap adik-beradik Nabi Yusuf AS dan siapa tahu mungkin ia sedang bersarang dalam diri sendiri sekarang.

Jadi, sebelum ia membarah, segera cari cara untuk menghilangkan perasaan tersebut. Kita tak dapat menghalangnya untuk hadir dalam diri sendiri, namun kita boleh memilih untuk mengawal perasaan tersebut agar akhirnya kita boleh bebas daripadanya.

Antara tips yang boleh diamalkan ialah;

#1 – Istighfar

Perasaan yang hadir itu ialah suatu yang negatif dan merupaan bisikan syaitan. Tepis ia dengan istighfar dan sentiasa mengingati Allah.

Nampak kecil, namun istighfar merupakan perkara yang mampu membantu menghapuskan dosa-dosa kecil. Setiap titik hitam di hati kita boleh dihilangkan dengan istighfar.

#2 – Besyukur

Selalu bersyukur dengan perkara yang diperoleh sama ada ia sedikit atau banyak, letakkan di hati bahawa ia adalah rezeki untuk hari ini.

Walaupun anda tidak dapat dinaikkan pangkat untuk hari ini, namun percayalah Allah mungkin sedang menyimpan ‘pangkat’ yang lebih besar untuk anda pada waktu yang lain.

#3 – Jangan Selalu Pandang Yang Di Atas

Selalu kita dongak ke langit untuk mencapai ‘awan’, namun kali ini cuba kita dongak sedikit ke bawah untuk sedar bahawa masih ada lagi yang sedang berjuang melebihi anda.

Kadang-kadang kita bertanya kenapa Allah tidak memberi nikmat seperti orang kaya yang kita idolakan. Perkara itulah yang menyebabkan hati kita sentiasa merasa tidak cukup dengan rezeki yang ada.

Jadi, cuba untuk melihat ke bawah. Ada lagi orang yang lagi susah dari anda dan meletakkan usaha dua kali ganda berbanding anda.

#4 – Cipta Denda Kepada Diri Sendiri

Denda atau hukuman ialah antara perkara yang berkesan juga dalam mendidik diri sendiri. Sebagai contoh, setiap kali rasa dengki kepada seseorang, denda diri anda dengan mencuci tandas atau mengemop lantai.

Atau boleh juga menghukum dengan menyedekahkah sejumlah amaun ke tabung masjid. Bukan amaun yang kecil, namun besar seperti RM50 atau RM100.

Kesimpulan

Kadang-kadang, kita sendiri tidak dapat menghalang perasan tersebut daripada hadir dalam diri. Namun, kita boleh mengawalnya agar ia tidak terus bersarang dan membuatkan hati kita kotor daripada perasaan negatif tersebut.

Justeru, cuba cari perkara yang boleh menenangkan hati anda. Kunci yang paling utama ialah sentiasa bersyukur dan percaya pada rezeki Allah.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami