Keluarga

Rahsia Mengapa Makan Bersama Mengeratkan Hubungan Kekeluargaan

Oleh Ibnu Ahmad  •  1 Jul 2020  •  5 min baca

(Tulisan hasil dari perkongsian Ustaz Hasrizal Jamil di Vlog My Learning Journey)

Menurut seorang penulis Alice P.Julier dalam buku “Eating Together: Food,Family And Inequality”, beliau mengulas tentang betapa pentingnya makan bersama keuarga dapat mengubah perspektif dan membina hubungan sosial (social interaction) yang kuat dalam kalangan ahli keluarga.

Pastinya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang lalu banyak aktiviti kekeluargaan termasuk makan bersama dapat dilakukan ketika berada di rumah. Justeru apakah implikasi makan secara bersama di rumah meninggalkan kesan atau pengaruh kepada emosi anak-anak?
Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal Abd Jamil:

“Duduk makan bersama keluarga menimbulkan ketenangan dan merupakan satu amalan baik yang harus diteruskan oleh generasi masa hadapan. Perbualan yang berlaku ketika menikmati makanan mendatangkan kesan yang baik kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.”

Satu kajian yang dijalan kan oleh Programme for International Student Assessment (PISA) di negara-negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mendapati bahawa aktiviti makan bersama ibu bapa di rumah boleh mengurangkankan kadar risiko kanak-kanak tersebut terlibat dengan masalah disiplin terutamanya ponteng sekolah.

Makan bersama biasanya dianggap perkara kecil dalam keluarga dek kerana kesibukan mencari rezeki pada siang hari. Namun sebagai seorang ketua keluarga, lelaki seharusnya meletakkan makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari sebagai keutamaan (priority) bagi menjernihkan hubungan antara ahli keluarga serta mengembalikan sinar kasih sayang.

Wahshi’ Bin Harb r.a menceritakan bahawa sekumpulan sahabat Nabi SAW berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan, tetapi kami tak berasa puas (kenyang).” Baginda menjawab, “mungkin kamu makan asing-asing”. Para sahabat berkenaan mengakuinya. Lalu baginda SAW berpesan, “makanlah bersama-sama, sebutkan nama Allah untuk makanan itu, nescaya akan diberkati” (HR Abu Daud)

Teknik C.A.S.I.C

C= Connect (berhubung)

Dalam kehidupan seharian, kita akan sentiasa berada dalam dunia sendiri sama ada waktu bekerja, waktu bersama rakan rakan di pejabat dan sebagainya menyebabkan dunia kita dengan keluarga seakan hilang lantaran sibuk bekerja.

Sekiranya ibu bapa perlu menyampaikan nasihat dan teguran kepada anak anak maka kedua-dua pihak harus saling berhubung. Maka aktiviti makan bersama dilihat sebagai langkah awal dan satu platform bagi ibu bapa saling berhubung dan memahami dunia anak anak.

Maka jadikanlah peluang ini sebagai titik permulaan bagi kita menyelami permasalahan yang dialami oleh anak-anak disekolah. Oleh yang demikian ibu bapa perlu ada connection (hubungan) dengan anak anak pada waktu ini.

Tinggalkan seketika masalah yang berserabut di fikiran,tutup televisyen dan letakkan jauh peranti dan telefon pintar anda yang ada. Ibu bapa perlu bertegas dan menetapkan bahawa setiap kali waktu makan semua ahli keluarga hendaklah duduk dan menikmati waktu makan tanpa gangguan.

Hal ini penting bagi memastikan fokus kita dengan bicara daripada anak-anak dapat didengari sepenuhnya serta tiada perkara atau poin penting yag tertinggal.

A= Acknowledge (mengiktiraf)

Selain itu, tindakan memberi penghargaan atas sesuatu perlakuan baik anak-anak dirumah boleh diucapkan ibu bapa ketika makan. Penggunaan kata-kata yang manis dan memuji mereka sewaktu makan bersama akan membina hubungan kasih sayang yang harmoni antara ahli keuarga.

Sekiranya ibu bapa lambat atau terlewat menyiapkan makanan ucapkanlah , “Maafkan ibu”, “Terima kasih kerana setia menunggu,” dan sebagainya mampu memberi kesan yang baik terutamanya kepada emosi anak-anak. Pengaruh yang baik dan cara asuhan yang berkesan daripada
ibu bapa terhadap anak-anak yang sedang meningkat remaja akan diterjemahkan melalui karakter serta sahsiah yang baik pada masa hadapan.

S= serve (berkhidmat)

Emosi anak anak juga akan lebih terangsang sekiranya ibu bapa memberikan khidmat terbaik kepada mereka seperti memasak juadah kegemaran, menyediakan pemanis mulut kesukaan atau bawa makan di tempat yang mereka suka. Segala perlakuan ini sebenarnya menandakan yang ibubapa sentiasa peka kepda emosi anak dan menandakan mereka sentiasa ada di saat mereka memerlukan.

Apa yang penting ialah anak-anak sedar yang ibu bapa bersikap jujur dan terbuka menerima segala kemahuan mereka serta sanggup bersusah payah menyediakan apa yang diingini walaupun dalam keadaan yang letih, penat dan sebagainya.

I= inquire (bertanya)

Fasa yang penting ketika melakukan aktiviti makan bersama anak adalah bertanya keadaan hari yang dilalui mereka. Mungkin anak-anak ada cerita yang seronok, sedih, marah dan sebagainya untuk diberitahu maka kesempatan ini merupakan peluang terbaik ibu bapa mendengar keluh kesah anak sepanjang hari. Tindakan ini mendorong kepada ‘sense of belonging’ atau perasaan kebersamaan antara dua-dua pihak.

Di mata dan hati sanubari anak sebenarnya ibu bapa lah tempat untuk dirujuk sekiranya ada kemelut yang sukar diatasi bersendirian. Ibu bapa boleh menjadi seorang pendengar yang baik tetapi janganlah cepat melatah dan bersikap ‘judgemental’ terhadap cerita yang dikongsi anak.

C=choice (pilihan)

Setelah ibu bapa mendapat maklum balas dan pendapat daripada anak-anak kini ibu bapa boleh menerangkan secara logik apa pilihan yang ada bagi mengatasi setiap masalah yang anak anak hadapi. Di usia yang masih mentah, anak susah hendak membuat pilihan yang sewajarnya, maka ibu bapalah yang boleh membuat pilihan bagi mengatasi masalah. Tapi sekiranya tiada pilihan untuk menyelesaikan masalah tersebut ibu bapa boleh menetapkan keputusan yang datangnya daripada mereka sendiri.

Anak-anak perlu dididik agar berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi secara kendiri dengan panduan diberikan ibu bapa agar lebih berdikari

Kesimpulannya makan bersama adalah satu aktiviti yang menyeronokkan dan penting untuk kerana didalamnya ada elemen CASIC; CONNECT, ACKNOWLEDGE, SERVE, INQUIRE dan CHOICE yang merupakan elemen penting dalam memastikan kesejahteraan hidup berkeluarga.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami