Hukum, Ibadah

Sahkah Solat Jika Tidak Melakukan Sujud Sahwi

Oleh Fizah Lee  •  22 Jun 2020  •  2 min baca

Sujud Sahwi ialah sujud yang dilakukan apabila terlupa pergerakan di dalam solat atau perbuatan tertentu yang disunatkan melakukannya. Sebagai contoh, anda terlupa bilangan rakaat Maghrib – kemudian anda menunaikan solat Maghrib sebanyak empat rakaat.

Maka, anda perlu melakukan sujud sahwi di akhir solat, iaitu selepas membaca Tahiyyat akhir dan sebelum menunaikan salam.

Ia perlu dilakukan sebanyak dua kali sujud – sama sahaja dengan sujud biasa yang kita lakukan dan di antaranya perlu melakukan duduk di antara dua sujud. Selesai sujud tersebut, barulah boleh memberi salam.

Bacaan tasbih ketika berada di dalam sujud tersebut ialah seperti berikut;

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو

Maksud: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai.”

Dalil dilakukan sujud sahwi adalah ketika peristiwa Baginda SAW yang terlupa bilangan solat. Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dia berkata:

Maksud: “Baginda SAW telah bersembahyang, berkata Ibrahim An-Nakhai’e RA: “Aku tidak pasti sama ada Rasulullah SAW telah menambah atau mengurangkan rakaat sembahyangnya.” Maka, setelah selesai Baginda memberi salam, lalu dikatakan kepadanya: “Ya Rasulullah, adakah telah berlaku sesuatu ketika Baginda bersembahyang?” Lalu, Baginda bersabda: “Apakah yang telah berlaku tadi?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya tuan telah melakukan sembahyang begini dan begini.”

Lalu, Baginda SAW melipatkan kedua belah kakinya seraya menghadap kiblat lalu bersujud sebanyak dua kali sujud. Kemudian Baginda memberi salam. Apabila Baginda berpaling menghadap kami (setelah selesai memberi salam), Baginda pun bersabda:

“Seandainya terjadi sesuatu (perubahan) di dalam sembahyang, nescaya aku akan mengkhabarkannya kepada kamu. Akan tetapi aku hanyalah manusia biasa seperti kamu (yang boleh lupa seperti kamu). Seandainya aku terlupa, maka ingatkanlah aku. Apabila seseorang daripada kamu merasa ragu-ragu dalam sembahyang, maka berusahalah untuk mencari kepastian (meyakinkan diri) lalu sempurnakanlah (sembahyang tersebut) kemudian, hendaklah dia bersujud sebanyak dua kali (sujud sahwi).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 401)

Hukum sujud sahwi ini adalah sunat. Jika tidak dilakukan juga tidak mengapa. Namun, jumhur ulama menyebut bahawa ia adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut.

Ia dituntut untuk dilakukan apabila berlaku kesalahan. Tujuannya adalah untuk menampal kekurangan dalam solat yang berlaku.

Walau bagaimanapun, jika tidak melakukan sujud sahwi, maka solatnya tetap sah dan tidak perlu mengulanginya lagi.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami