Oleh Natirah Azira • 18 Jun 2020 • 2 min baca
Bersempena dengan sambutan Hari Bapa, jenama dUCk semalam dengan kolaborasi Marvel x dUCk telah melancarkan aksesori mewah berupa tali leher.
Walau bagaimanapun, penjualan tali leher tersebut telah ditarik semula kerana ia diperbuat daripada 100% benang sutera dan hukum pemakaiannya haram bagi lelaki Islam.
Pihak dUCk telah meminta maaf atas kecuaian ini melalui akaun Instagram rasminya, dan berkata akan membuat pembayaran balik (refund) kepada para pelanggan yang telah membayar. Bukan itu sahaja, mereka juga akan menghadiahkan tali leher sutera itu kepada pekerja lelaki barisan hadapan mereka yang bukan Islam.
Dalam Islam, pemakaian kain yang diperbuat daripada benang sutera adalah haram bagi kaum lelaki. Hal ini disandarkan kepada riwayat daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:
Dari Abu Musa Al Asy’ari, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Diharamkan bagi laki-laki dari umatku sutera dan emas, namun dihalalkan bagi perempuan.” (HR. Tirmidzi, no. 1720)
Manakala disebutkan oleh Ibn Raslan;
“(Diharamkan ke atas lelaki) memakai sutera murni (100%) atau campuran yang suteranya lebih dominan melainkan ke atas kanak-kanak.”
Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, hukum memakai sutera dapat disimpulkan kepada beberapa bahagian:
1. 100% sutera – hukum memakainya adalah haram.
2. 50% sutera campur 50% kain bukan sutera – hukum memakainya adalah harus.
3. Kadar sutera lebih banyak berbanding kain selainnya – hukum memakainya adalah haram.
4. Kadar kain selain sutera lebih banyak berbanding sutera – hukum memakainya adalah harus.
5. Jika ragu-ragu sama ada kadar sutera dan selainnya sama banyak atau tidak. Begitu juga jika ragu-ragu pada kadar banyak salah satu daripada kedua-duanya. Menurut Syeikh Ibn Hajar, harus memakainya. Manakala menurut Syeikh al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini, haram memakainya (al-Manhal al-Naddhokh).
Justeru, umat Islam perlu lebih cakna dengan hukum-hakam walaupun dalam gaya kehidupan moden pada masa sekarang. Semoga ia lebih mendekati gaya hidup yang diberkati.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.