Sejarah

Hannah Binti Faqudz, Ibu Maryam Yang Bernazar Memiliki Anak

Oleh Fizah Lee  •  18 Jun 2020  •  3 min baca

Kisah Maryam binti Imran merupakan sebuah kisah yang sangat popular dalam kalangan kita. Kita mengetahui bahawa ketabahan beliau yang telah memiliki seorang anak tanpa bapa.

Disebabkan itu, beliau telah mendapat hinaan dan dipandang rendah oleh orang sekeliling kerana beliau ialah wanita yang kuat beribadat, namun telah mengandung dan melahirkan tanpa pernikahan.

Namun, entri kali ini bukan untuk menceritakan mengenai ketabahan beliau, akan tetapi tentang kecekalan ibunya, iaitu Hannah binti Faqudz yang menunggu bertahun lamanya untuk memiliki zuriat.

Dalam riwayat lain ada menyebut bahawa namanya ialah Hannah binti Faquda binti Qabil. Beliau merupakan isteri kepada Imran bin Ba-Syam bin Ma-sya bin Hazqiya yang merupakan keturunan Nabi Sulaiman bin Daud.

Imran yang merupakan seorang ahli ibadah dan pemilik kepada tempat sembahyang Bani Israel pada zamannya juga turut menikahi seorang ahli ibadah.

Keinginan Memiliki Anak Apabila Melihat Ibu Burung

Dalam beberapa riwayat menyebutkan bahawa Hannah merupakan seorang wanita yang tidak mampu melahirkan zuriat. Ada juga yang menyebut bahawa beliau belum boleh mengandung sedangkan ia seorang wanita yang subur.

Sabar dan tabahnya beliau untuk menunggu berita gembira dalam memiliki anak. Sekali pun, beliau tidak pernah mengeluh.

Sehinggalah pada suatu hari beliau telah melihat situasi seekor ibu burung yang memberi makan kepada anak-anak burung tersebut.

Pada waktu itulah keinginannya semakin membuak. Beliau juga ingin merasa kegembiraan memberi makan kepada zuriat sendiri.

Akhirnya, beliau telah bernazar kepada Allah agar dikurniakan anak. Nazarnya adalah berbentuk – anak yang bakal dilahirkan bakal menjadi ahli ibadah sama seperti mereka.

Sehinggalah pada suatu hari, beliau telah disahkan mengandung. Betapa gembiranya pasangan suami isteri itu. Hannah juga turut mendoakan bahawa kandungannya ialah anak lelaki.

Namun, apabila sudah dilahirkan, rupanya anak tersebut ialah perempuan. Mereka menamakannya Maryam dan dia telah berada dalam Mihrab (tempat ibadah) sepanjang hidupnya.

Maryam telah dijaga oleh Zakaria yang merupakan nabi pada zaman itu. Maryam merupakan seorang yang kuat beribadah dan kepercayaannya kepada Allah sangat tinggi.

Kisah Hannah ada dirakamkan di dalam Al-Quran melalui surah Ali-Imran:

Mafhum: “(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Maka, Apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki) – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).”

Maka, ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya.

Nabi Zakaria bertanya; “Wahai Maryam, dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia dari Allah. Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” (Surah Ali-Imran, 3: 35-37)

Kesimpulan

Jumhur ulama menyebut bahawa, apabila ingin berdoa, maka berdoalah dengan sepenuh hati dan keyakinan kepadaNya.

Jangan timbul perasaan ragu-ragu atau berdoa dengan pengharapan yang kecil. Allah itu Maha Pemberi dan Berkuasa di atas setiap sesuatu.

Disebabkan itu, walaupun ia kelihatan mustahil, namun teruskan berdoa. Yang paling penting ialah sabar dan tawakkal kepadaNya.

Itulah yang diterapkan oleh Hannah binti Faqudz sehingga beliau berjaya memperoleh zuriat.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Hikmah Buya Yahya – Doa Sayyidah Hannah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami