Hukum, Keluarga

Ziarah Kubur vs Doa Dari Jauh

Oleh Fizah Lee  •  17 Jun 2020  •  2 min baca

Aktiviti menziarahi kubur adalah amalan dan adat semua orang, baik Melayu mahupun bangsa lain. Buat mereka yang beragama Islam pula, kebiasaannya akan menziarah kubur apabila tibanya musim perayaan.

Pada waktu inilah masing-masing akan mengambil peluang untuk menziarah kubur ahli keluarga atau ibu bapa yang telah meninggal. Peluang dapat pulang ke kampung halaman itu akan disertai dengan menziarahi kubur mereka.

Namun, berikutan dengan suasana kita meraikan Syawal tahun ini dengan sedikit berbeza, aktiviti menziarahi kubur adalah tidak dibenarkan.

Kini, walaupun sudah ada beberapa negeri yang membenarkan amalan itu, namun ia masih tetap perlu dilakukan dengan berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jadi, buat mereka yang sudah terbiasa dengan menziarah kubur ibu bapa, pastinya wujud sedikit perasaan sedih atau serba salah kerana sudah lama tidak ‘melawat’ mereka.

Sebenarnya, janganlah wujud perasaan sedih atau tidak dapat mengirimkan doa kepada mereka kerana tidak pulang menziarahi kubur mereka.

Doa dan bacaan Yaasin boleh dibaca di mana-mana sahaja, bukan terhad apabila anda menziarah kubur. Tidak menziarah kubur juga bukanlah bentuk kederhakaan.

Syeikh ‘Utsaimin RA pernah ditanya – “Bapaku telah meninggal dunia dan dia jauh dariku. Saya tidak mampu menziarahi (kuburnya) kecuali setelah dua atau tiga tahun kemudian. Apakah yang dapat saya lakukan untuk berbakti kepadanya padahal saya jauh dari kuburnya.”

Beliau kemudian menjawab – “Maksud dari ziarah kubur adalah dengan mendoakan kebaikan bagi orang yang telah meninggal. Dan mendoakan mereka, sampai (kepada mereka) di mana pun tempat dia berada. Hal ini berdasarkan sabda Rasululullah SAW:

Maksud: “Apabila seseorang meninggal dunia,, maka amalannya terputus kecuali dari tiga perkara: “Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kebaikan buatnya.”

Maka, hendaklah kamu berdoa kepada Allah walau di mana pun kamu berada, sama ada dekat atau jauh (dari kuburannya) untuk mendoakannya.

Beliau juga berkata – “Memang benar jika kuburnya masih dalam satu negeri (tidak perlu musafir ke sana), kamu datang untuk suatu keperluan dan (sekali gus) pergi menziarahi kubur bapamu, maka ia adalah tidak mengapa. Namun, jika bermusafir menuju kuburnya untuk menziarahinya, ia juga boleh menjadi perkara yang terlarang.” (Nuur ‘alad Darb, 7/196)

Berbakti kepada orang tua itu boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti sentiasa mendoakan mereka, bersedekah bagi pihak mereka, menghubungkan silaturahim dengan kenalan mereka dan sebagainya.

Tidak semestinya perlu menziarah kubur. Namun, ia bukanlah bermaksud anda tidak perlu langsung menziarah kubur.

Sekali-sekala pulanglah untuk membersihkan kubur mereka. Jika bukan anda, siapa lagi.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami