Ibadah

Betulkah Sebelum Tidur Ialah Waktu Terbaik Solat Istikharah

Oleh Fizah Lee  •  17 Jun 2020  •  2 min baca

Solat Sunat Istikharah merupakan salah satu perkara yang dilakukan ketika kita sedang berada dalam kekeliruan hidup untuk membuat pilihan.

Solat ini selalunya terkenal kepada mereka yang ingin memilih pasangan hidup. Apabila ingin membina rumah tangga atau hadirnya dua pilihan, barulah manusia berpusu-pusu menghadap Ilahi untuk memohon petunjuk.

Namun, itu adalah perbuatan yang tidak tepat. Benar, ia boleh dilakukan untuk membuat pilihan ketika berada dalam fasa ini, namun tujuan solat Istikharah ini adalah lebih daripada itu, bukan hanya terhad kepada perkahwinan sahaja.

Apabila anda diberi dua pilihan pekerjaan, lakukanlah Istikharah untuk memilih yang terbaik. Apabila anda buntu untuk meneruskan perancangan sambung pelajaran atau bekerja, maka lakukanlah Istikharah.

Solat ini adalah untuk memohon petunjuk daripadaNya agar setiap keputusan yang dilakukan itu diredai Allah dan kita pula merasa ketenangan ketika memilih.

Kebiasaannya, seseorang akan melakukan solat Sunat Istikharah sejurus sebelum tidur. Hal ini kerana, salah satu cara Allah memberi petunjuk adalah melalui mimpi.

Namun, tidak semua orang dianugerahi dengan mimpi. Ada juga cara lain yang Allah buktikan, iaitu dengan memberi sepenuh ketenangan kepada hati anda ketika mengambil keputusan tersebut.

Allah yang menggerakkan hati anda untuk membuat keputusan tersebut. Jadi, keyakinan yang wujud dalam diri anda itu merupakan salah satu petunjuk yang Allah berikan kepada diri anda.

Disebabkan ramai yang berpegang kepada petunjuk yang Allah berikan itu adalah melalui mimpi, maka ramai dalam kalangan kita yang berpegang juga bahawa solat Istikharah itu sesuai dilakukan sebelum tidur.

Adakah waktu terbaik untuk melakukan Istikharah itu adalah sebelum tidur? Jawapannya, bukan. Bahkan, tiada waktu khusus untuk melaksanakan solat sunat Istikharah. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa melainkan masa yang diharamkan solat.

Adapun, jika seseorang itu memilih untuk melakukan Istikharah pada waktu yang mustajab berdoa, maka anda boleh melakukan pada waktu dua per tiga malam, iaitu ketika waktu Tahajjud.

Tidak disangkal lagi bahawa ia adalah waktu yang mustajab doa seperti mana yang diterangkan oleh Baginda SAW yang bermaksud:

“Allah SWT turun ke langit dunia ketika dua pertiga malam pada setiap malam lalu berfirman; “Sesiapa yang memohon kepadaKu (ketika ini). Aku akan memperkenankannya, sesiapa yang meminta kepadaKu (ketika ini), Aku akan memberikannya, sesiapa yang memohon ampun kepadaKu (ketika ini), Aku akan mengampunkannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, waktu yang sering dilakukan, iaitu sebelum masuk tidur itu bukanlah waktu afdal solat Istikharah. Sebaliknya, semua waktu yang dibolehkan solat adalah waktu terbaik untuk melakukan Istikharah.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Fatwa & Irsyad Istikharah
Buku – Biar Tahu Jangan Keliru


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami