Gaya Hidup

Fahami Hukum Mewarnakan Rambut

Oleh Natirah Azira  •  15 Jun 2020  •  4 min baca

Perbuatan mewarnakan rambut bukan perkara baru dalam budaya masyarakat di Malaysia. Malah aktiviti mewarna rambut juga wujud dalam Islam lama dahulu iaitu semasa zaman Nabi Muhammad SAW, apabila para sahabat ingin pergi berperang. Tujuannya bagi menimbulkan rasa gerun dalam hati musuh kerana melihat orang Islam masih muda dan gagah.

Dalam situasi lain, Rasulullah juga pernah menyuruh seorang sahabat yang sudah lanjut usianya bernama Abu Quhafah supaya mewarnakan rambut yang sudah beruban namun tidak boleh berwarna hitam.

Bagi menerangkan hal ini dengan lebih lanjut, kami akan menggariskan dahulu hukum mewarnakan rambut secara umum. Seterusnya, kami akan menjelasan hukum-hukum lain yang berkaitan seperti syarat yang mesti ditepati serta hukum menggunakan bahan pewarna yang banyak terdapat di pasaran.

Hukum Mewarnakan Rambut Secara Umum

1. Sunat

– Mewarnakan rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain daripada warna hitam.

2. Harus

– Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad.
– Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

3. Makruh

– Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh.
– Memutihkan rambut dengan apa jua bahan bagi tujuan kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

4. Haram

-Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam hukum harus.
-Mewarnakan rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.

Rujuk: Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Dalam hal ini, kami juga memetik perkongsian PU Azman kepada Saudara Nubhan yang bertanya tentang hukum mewarnakan rambut.

Ulas beliau, hukum mewarnakan rambut secara umumnya adalah harus, namun perlu mengambil kira 5 perkara utama terlebih dahulu.

1. Tujuan Mewarnakan Rambut

Jika untuk menutup uban, ia sunat.
Jika tiada sebab, ia harus.
Jika mengikut budaya yang jahat, maka ia haram.

2. Bahan Yang Digunakan

Bahan yang digunakan mestilah bukan daripada bahan yang tidak suci atau najis.

3. Membahayakan Kesihatan Atau Tidak

Jika tidak membahayakan kesihatan maka ia dibolehkan.

4. Menghalang Air Atau Tidak

Bahan yang digunakan mestilah tidak menghalang air untuk sampai ke dalam rambut. Ini kerana, umat Islam perlu sentiasa berwuduk untuk solat serta mandi wajib.

5. Warna Yang Digunakan Mesti Tidak Mendatangkan Fitnah

Warna yang dibolehkan seperti warna yang dekat dengan warna inai atau warna asal rambut, contohnya coklat, perang, atau kemerah-merahan seperti warna inai.

Warna-warna yang dapat menarik perhatian dan menimbulkan fitnah serta gosip di kalangan masyarakat perlu dielakkan contohnya warna biru, kuning, hijau dan sebagainya.

Bolehkah Menggunakan Pewarna Rambut Di Pasaran?

Kita sering mendengar bahawa pewarna-pewarna rambut di pasaran sentiasa diragui kehalalannya untuk digunakan – antaranya kerana bahan yang tidak diketahui baik serta isu telap air atau tidak.

Bagi memahami hal ini dengan lebih lanjut, kami telah merujuk penerangan seorang pendandan rambut (hair stylist) dengan nama @bambangsoteto di laman Instagram miliknya mengenai bahan-bahan pewarna rambut yang ada di pasaran.

Menurutnya pewarna rambut boleh dibahagikan kepada 3 jenis:

1. Pewarna organik (Inai)

Telus air dan boleh dibawa solat.

2. Pewarna ‘Chemical-based’

– Permanent color (Ammonia based) – pewarna yang telus air.
– Temporary color – Selalunya tidak telus air (menyelaputi bahagian atas rambut).
– Make up color – Pewarna yang tidak telus air tetapi kebiasaanya senang hilang.

3. Pewarna Hybrid

Inai yang dikomersialkan, contohnya campuran Inai dan PPD (Paraphenyl diamine). Inai sebegini biasanya tidak telus air kerana PPD akan menyelaputi bahagian atas rambut. Justeru, pengguna perlu berhati-hati kerana tidak semua inai yang dijual di pasaran adalah telus air dan boleh dibawa solat.

4. Bleach

Serbuk bleach adalah bukan pewarna tetapi bahan yang boleh melunturkan warna rambut yang asal. Kadang-kadang jika rambut tidak cukup kuat, atau cara yang dilakukan tidak betul, ia akan merapuh dan merosakkan rambut.

Kesimpulan

Justeru, kita memahami bahawa mewarnakan rambut ini dibenarkan dalam Islam, tetapi perlulah terlebih dahulu memahami beberapa situasi. Kami ringkaskan kembali sebagaimana berikut:

1. Buat orang tua yang sudah beruban putih, dia tidak boleh mewarnakan semula rambut kepada warna hitam seperti masih muda. Ia seolah-olah menyembunyikan fakta sebenarnya berkenaan diri sendiri dan memperdaya orang lain. Dia boleh mewarnakan rambut namun bukan dengan warna hitam.

2. Manakala buat golongan muda yang mempunyai masalah rambut bertukar putih sekalipun masih muda, golongan ini dibenarkan untuk mewarnakan rambut kepada warna hitam. Hal ini disandarkan kepada kata-kata Al-Zuhri, “Kami mewarna dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam.” (Fathul Bari)

3. Buat golongan muda yang ingin mewarnakan rambut tanpa apa-apa sebab, ia juga dibolehkan namun perlu mengelakkan warna yang boleh menimbulkan fitnah.

4. Perlu mengambil kira lima perkara yang sudah disebutkan oleh PU Azman serta memastikan bahan yang digunakan adalah halal dan telus air.

Rujukan:
1. Pejabat Mufti Negeri Sembilan
2. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami