Hukum

Hukum Bekam Dan Derma Darah Semasa Berpuasa

Oleh Natirah Azira  •  12 Jun 2020  •  2 min baca

Perbincangan tentang status sama ada menderma darah membatalkan puasa atau tidak sebenarnya bercabang daripada persoalan berbekam ketika berpuasa. Daripadanya, hukum menderma darah diqiaskan kepada berbekam kerana kedua-duanya melibatkan proses yang sama iaitu mengeluarkan darah daripada badan.

Justeru, sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang hukum menderma darah, perlulah difahami tentang hukum bekam terlebih dahulu. Terdapat dua hadis daripada Rasulullah SAW yang secara zahirnya dilihat saling bercanggah antara satu sama lain yang membawa kepada dua hukum yang berbeza.

Pendapat Pertama – Membatalkan Puasa

Ulama-ulama terdahulu seperti Imam Ibn Khuzaimah, Imam Ibn Sirin dan Imam Al-Auzaie yang mengatakan bahawa berbekam membatalkan puasa menyandarkan pendapat mereka kepada hadis pertama ini.

أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ

Maksudnya: “Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam” (Riwayat Abu Daud, no.2369, Al-Tirmizi, no.774 & Ibn Majah, no.1679)

Pendapat Kedua – Tidak Membatalkan Puasa

Pendapat yang mengatakan bahawa berbekam tidak membatalkan puasa pula dipegang oleh jumhur iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan Imam Syafie dan lain-lain, berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas r.anhuma yang mengatakan:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ صَائِمٌ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa.” (Riwayat Al-Bukhari, no.1939, Abu Daud, no.2372 & Al-Tirmizi, no.776)

Walau bagaimanapun, apabila melalui proses perbahasan dalil, beberapa perkara dapat disimpulkan iaitu:

1. Bagi mereka yang berpendapat bahawa bekam tidak membatalkan puasa kerana mereka mengatakan bahawa dalil larangan bekam yang pertama tadi telah termansukh (terbatal) dengan hadis Abi Sa’id al-Khudri ra:

أرخص النبي – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – في الحجامة للصائم

Maksudnya: “Nabi SAW memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam.” (Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Kubra, no.3224, Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya, no.1967)

2. Tegahan berbekam ketika berpuasa adalah kerana ditakuti ianya melemahkan badan dan menyebabkan seseorang itu berbuka puasa kerana banyak darah yang keluar.

Kesimpulan

Setelah melihat kepada semua perbahasan tersebut, pendapat yang lebih diterima oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan adalah bekam tidak membatalkan puasa berdasarkan pendapat jumhur di atas.

Justeru, ia boleh diqiyaskan kepada hukum menderma darah ketika berpuasa adalah harus dan tidak membatalkan puasa.

Namun, jika dengan menderma darah boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka hukumnya menjadi makruh.

Pendapat yang sama turut dikeluarkan oleh Dar al-Ifta Jordan iaitu menderma darah tidak membatalkan puasa kerana menderma darah bukanlah bererti memasukkan sesuatu tetapi mengeluarkan sesuatu daripada badan. Wallahua’lam.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami