Amalan sunat adalah pelengkap kepada kekurangan bagi ibadah fardu. Contohnya kekurangan solat fardu mampu ditampung dengan solat rawatib yang boleh dilakukan sebelum dan selepas solat.
Walau bagaimanapun, ada waktu-waktu yang dilarang untuk solat contohnya selepas Asar dan juga selepas Subuh. Abu Sa’id al-Khudri ra meriwayatkan:
Maksudnya: “Tiada solat selepas Subuh sehinggalah matahari naik, dan tiada solat selepas Asar sehingga matahari terbenam.” (Sahih al-Bukhari, no.586)
Manakala riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW ada menunaikan solat selepas Asar adalah kerana menggantikan solat sunat Zohor dan itu merupakan khususiyyah baginda SAW.
Dalam riwayat lain ada pula menceritakan bahawa Nabi SAW tidak suka menunaikan solat saat matahari sedang tegak di atas kepala.
Sungguhpun begitu, larangan ini bukanlah larangan yang mutlak. Masih ada pengecualian dalam beberapa keadaan, solat-solat sunat masih boleh dilakukan pada waktu-waktu ini. Antaranya ialah:
Solat Yang Ada Sebab Untuk Menunaikannya
Tidak makruh untuk menunaikan solat selepas waktu Asar jika terdapat sebab yang dibenarkan dari segi syarak seperti seseorang yang ingin mengqadha’ solat fardhu, sujud tilawah, solat jenazah, solat gerhana matahari dan bulan, solat meminta hujan, solat sunat tawaf dan solat sunat tahiyyatul masjid.
Solat Ketika Matahari Terpacak Tegak Di Atas Kepala Pada Hari Jumaat
Dalam hadis Abu Daud, Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW tidak menyukai solat di tengah hari (keadaan matahari tertegak di atas kepala) kecuali pada hari Jumaat.” (Riwayat Abu Daud, no. 1083 – Abu Daud mengatakan hadis ini adalah Mursal)
Walau bagaimanapun, hal ini ada pengecualiannya pada hari Jumaat. Tidak makruh untuk bersolat pada waktu ini bagi mereka yang hadir untuk solat.
Solat Di Haram Mekah Al-Mukarramah
Tidak dimakruhkan solat di sana sekalipun pada waktu yang makruh sama ada bersebab ataupun tidak bersebab. Ini berdasarkan hadis daripada Jubair bin Mut’im ra, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
Maksudnya: “Jangan kamu halang seseorang yang ingin melakukan tawaf di rumah Allah ini (Ka’bah) dan solat pada setiap waktu yang mereka inginkan pada waktu malam ataupun siang.” [Riwayat Abu Daud, no.1894 & Al-Nasa’ie, no.586]
Tuntasnya, hukum melakukan solat sunat selepas Asar adalah makruh kecuali ada keperluan sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Wallahua’lam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.