Gaya Hidup

Bolehkah Berdoa Dipanjangkan Umur?

Oleh Fizah Lee  •  9 Jun 2020  •  2 min baca

Apabila seseorang menyambut ulang tahun kelahirannya, kebiasaannya kita akan mendengar ucapan-ucapan seperti ‘semoga panjang umur’ atau ‘semoga umur diberkati’ dan sebagainya.

Sebagai insan yang menyambut hari lahir, pasti anda juga akan berdoa agar semoga Allah memberikan anda umur yang panjang agar lebih banyak lagi perkara yang ingin dilakukan dapat dicapai.

Walau bagaimanapun, bolehkah kita mendoakan agar dikurniakan umur yang panjang? Semakin tua seseorang itu, maka semakin dekat seseorang itu kepada kematian.

Bahkan, tarikh kematian kita juga telah ditetapkan sejak azali lagi, iaitu semasa mencapai umur 4 bulan ketika berada di alam Rahim.

Jadi, adakah doa yang diucapkan itu akan menjadi doa yang sia-sia sahaja?

Sebenarnya, setiap doa yang diungkapkan, tiada satu pun yang sia-sia. Semuanya itu didengari Allah. Sama ada ia dikabulkan atau tidak, itu adalah urusanNya. Tugas dan urusan kita adalah berdoa.

Tiada masalah untuk berdoa umur panjang, tetapi lebih baik jika didoakan agar dipanjangkan umur dalam ketaatan kepadaNya. Terdapat sebuah doa yang diajar kepada kita, iaitu;

اللَّهُمَّ أكْثِرْ مَالِي، وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أعْطَيْتَنِي وَأطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ عَمَلِي وَاغْفِرْ لِي

Maksud: “Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anakku serta berkahilah kurnia yang Engkau beri. Panjangkanlah umurku dalam ketaatan kepadaMu dan baguskanlah amalku serta ampunilah dosa-dosaku.”

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Ketaatan KepadaNya

“Kehidupan yang baik adalah yang paling baik amalannya.”

Sama ada umur yang dijalani itu panjang atau pendek, namun jika amalannya bagus, maka umurnya adalah diberkati.

Ada orang yang meninggal masa muda, namun disebabkan amalnya yang paling baik, maka kehidupannya diberkati dan diterima oleh Allah. Bahkan, ramai manusia yang cemburu akan kematiannya yang berjaya menggapai husnul khatimah.

Jangan pula semakin meningkat usianya, semakin lalai dan sayang kepada dunia. Perkara ini boleh merosakkan hati dan takutkan mati.

يَهْرَمُ ابْنُ آدَمَ وَتَشِبُّ مِنْهُ اثْنَتَانِ الْحِرْصُ عَلَى الْمَالِ وَالْحِرْصُ عَلَى الْعُمُرِ

Maksud: “Ada yang sudah tua dari usia, namun masih bernafsu seperti anak muda, iaitu dalam dua perkara; tamak pada harta dan terus panjang angan-angan (ingin terus hidup lama).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1047)

Justeru, umur dan masa yang diberikan adalah peluang kepada seseorang untuk menggapai reda Allah. Walaupun ada yang menyebut, orang yang meninggal awal lebih disayangi tuhan, namun orang yang diberi umur panjang juga ada lebih banyak peluang untuk meraih cinta Allah.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami