Oleh Fizah Lee • 3 Jun 2020 • 4 min baca
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, banyak perkara yang telah terjejas dan membawa kepada norma baharu.
Sama seperti nasib mahasiswa yang pada asalnya menjadi tanda tanya, apa yang akan berlaku kepada mereka. Namun, kini kebanyakan pihak universiti telah mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian mereka secara alam maya.
Apabila ditatal di laman-laman media, ada yang menzahirkan rasa syukur dengan keputusan itu, tidak lain juga ada yang mengeluarkan keluh kesah mereka.
Banyak masalah yang perlu ditangani dalam perkara ini terutamanya berkenaan capaian internet yang menjadi pertimbangan utama dalam menjadikan keberhasilan pengajian secara atas talian ini.
Para pensyarah juga telah mula menunjukkan usaha yang jitu dengan berjinak-jinak melalui platform yang menjadi tunjang kepada keberhasilan kelas ini.
Pendek kata, semua masalah yang menjadi tanda tanya setiap pihak pasti sedang cuba diatasi dengan sebaik mungkin oleh mereka yang bertanggungjawab terutamanya diri sendiri.
Jadi, menjadi kewajipan semua orang terutamanya para pelajar untuk terus mengekalkan adab dalam menjalani sesi pembelajaran ini.
Ketahuilah, walaupun anda belajar secara alam maya, iaitu sangat berbeza suasananya dengan pembelajaran di dalam kelas, namun adab-adab sebagai seorang pelajar perlu ditekankan dan dijaga kerana ia juga merupakan salah satu sumber keberkatan dalam menuntut ilmu.
Antara adab yang boleh dijaga semasa belajar secara atas talian ialah;
Walaupun belajar secara atas talian, namun itu tidak menjadikan alasan untuk menyertai kelas tersebut dengan lambat. Sebenarnya, lagi mudah untuk menyertainya dengan lebih awal. Anda sudah tidak perlu berkejar-kejar ke kelas. Cuma perlu tekan sahaja platform tersebut.
Gunakan peluang ini untuk mengamalkan adab yang diajar oleh para ulama dan golongan ilmuwan. Masuk kelas lebih awal daripada pensyarah. Kali ini, anda boleh sertai dua ke tiga minit lebih awal. Jangan biarkan pensyarah anda tertunggu-tunggu.
Kalau di universiti, para pelajar yang bangun lambat pasti akan memberikan alasan untuk ponteng kelas. Ada juga pensyarah yang akan mengunci pintu bagi memberi amaran kepada pelajar untuk tidak lambat ke kelasnya.
Kali ini, walaupun anda terbangun lambat atau mempunyai masalah capaian internet, tetaplah menyertai kelas anda. Pasti, bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. Ditambah pula dengan berada di rumah, pasti banyak gangguan yang ada.
Namun, lama-kelamaan pasti akan terbiasa. Jadi, jangan sia-siakan peluang untuk menuntut ilmu ini.
Komunikasi ialah kunci kepada semuanya. Pasti anda pernah mendengar perkataan ini, bukan? Ia boleh diaplikasikan dalam semua situasi.
Berkomunikasilah dengan pensyarah anda jika terdapat masalah atau kekangan yang menjadi penghalang. Terangkan kepadanya perkara sebenar yang berlaku. Sama ada beliau akan memahami atau tidak, itu merupakan perkara kedua.
Yang penting, anda sudah cuba untuk menyelesaikan masalah anda. Jika punya masalah untuk belajar di waktu pagi contohnya, kerana anda perlu membantu ibu anda di dapur, mungkin pensyarah anda akan cuba menganjakkan masa sedikit.
Antara aplikasi yang terkenal dalam kelas atas talian ini ialah Zoom dan Google Meet. Pengguna boleh memilih untuk menyertainya tanpa kamera terbuka atau sebaliknya.
Sebaiknya, bukalah kamera peranti anda agar semua orang dapat melihatnya, terutamanya pensyarah anda. Ia adalah salah satu adab yang perlu diamalkan di samping untuk mengelakkan penipuan.
Beri perhatian sepenuhnya di dalam kelas. Walaupun pensyarah tidak dapat melihat anda secara penuh, namun penting untuk anda fokus kepada pengajaran yang diberikan.
Cuba untuk menjaga aib dan maruah diri dengan baik. Walaupun ia sekadar kelas atas talian, namun penting untuk berpakaian kemas dan menutup aurat.
Kemaskan rambut buat lelaki atau pakai tudung dengan sempurna buat perempuan, ia adalah antara perkara yang boleh diambil perhatian.
Para pensyarah telah bertungkus lumus untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya dalam menyampaikan ilmu yang baik.
Jadi, menjadi tugas mahasiswa sendiri untuk menimba ilmu itu dalam keadaan yang baik dan penuh adab. Walaupun kita berada dalam norma baharu, namun ia tidak menjadi penghalang kepada semua untuk menuntut ilmu.
Yusuf bin Al-Husain RA berkata:
بالأدب تفهم العلم
Maksud: “Dengan adab, engkau akan memahami ilmu” [Iqtidhaul Ilmi Al ‘Amal (31), daripada Min Washaya Al Ulama liThalabatil Ilmi (17)]
Wallahu a’alam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.