Oleh Natirah Azira • 18 May 2020 • 3 min baca
Melewati 10 hari terakhir Ramadan ini, pasti ramai yang sedang berlumba-lumba melakukan amal ibadah bagi meraih ganjaran pahala berganda. Apa tidaknya, Allah sudah menjanjikan bahawa antara 10 malam tersebut, ada satu malam yang paling mulia yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Ada yang mula berkongsi di media sosial bahawa mereka sudah habis mengkhatamkan Al-Quran. Ada yang meningkatkan bilangan rakaat solat Tarawih, memperbanyakkan sedekah dan sebagainya.
Mungkin ada yang tertanya-tanya – adakah melakukan amalan dengan mengharapkan pahala ini dikira ikhlas? Bukankah ikhlas itu adalah apabila kita langsung tidak mengharapkan apa-apa?
Memang ada antara golongan ahli ibadah khususnya para sufi yang berpendirian bahawa ikhlas yang sebenarnya adalah melakukan amal hanya kerana kecintaan kepada Allah semata-mata, seperti dalam kisah masyhur seorang wanita bernama Rabiatul Adawiyyah yang terkenal dengan cintanya yang tinggi kepada Allah tanpa mengharapkan balasan.
Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk mencapai hakikat tersebut dalam beramal. Jalan menuju Allah itu pula ada pelbagai. Dan jika kita beramal untuk mengharapkan pahala, syurga atau takut akan neraka – itu bukan bermakna perbuatan yang dilakukan itu tidak ikhlas. Allah memang menyediakan ganjaran tersebut untuk diraih.
Malah ia tidak bercanggah dengan ajaran Nabi SAW, sunnah baginda atau Al-Quran sendiri.
#1- Allah Menyuruh Agar Berlumba Meraih Pelbagai Kenikmatan Syurga
Contohnya dalam Surah Al-Muthoffifin, Allah menyebut pelbagai jenis nikmat syurga kemudian menyuruh manusia berlumba-lumba mendapatkannya.
“…dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan” (Surah Al-Muthoffifin 83:26)
#2- Sifat Seorang Hamba Adalah Yang Berdoa Agar Dilindungi Daripada Api Neraka
“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan” (Surah Al-Furqan 25: 64-65)
#3- Orang Yang Berfikir Juga Berdoa Memohon Perlindungan Dari Azab Neraka
“(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka” (Surah Ali-Imran 3:191)
#4- Asiyah, Isteri Firaun Yang Beriman Juga Memohon Ganjaran Daripada Allah
“Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Firdaus, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.” (Surah At Tahrim 66:11)
#5- Hadis Masyhur Bulan Ramadan – Perlu Berpuasa Atas Dasar Iman Dan Mengharapkan Pahala
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Riwayat al-Bukhari, no.38 dan Muslim, no.760)
Kita adalah umat terpilih. Disediakan bagi kita ganjaran yang banyak bagi amalan-amalan yang dilakukan sesuai dengan firmanNya dan juga ajaran baginda SAW. Ia bukan bermakna kita tidak ikhlas beramal – kerana yang kita harapkan bukanlah ganjaran duniawi atau penghormatan orang, tetapi semata-mata ganjaran daripada Allah SWT.
Rujukan:
Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.