Kita sudah memasuki separuh bulan Ramadan. Rata-rata orang sedang berusaha untuk mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan agar masa yang berbaki ini tidak disia-siakan begitu sahaja.
Antara ibadah yang sering dilakukan apabila masuknya pertengahan Ramadan ini ialah membaca doa Qunut dalam solat Witir pada rakaat yang terakhir.
Namun, yang menjadi tanda tanya ialah, adakah ia dilakukan bermula pada malam ke-15 puasa ataupun pada malam ke-16?
Dalam mazhab Imam Syafi’e, disunatkan bagi mereka yang melakukan solat Witir untuk membaca doa Qunut Witir pada separuh yang terakhir dari bulan Ramadan, iaitu bermula pada malam yang ke-16 Ramadan. (al-Muktamad, 1/309)
Imam Ibn Rajab Al-Hanbali berkata – “Oleh kerana itu (wallahu a’alam) Ubai ibn Ka’ab dahulu membaca doa Qunut dalam solat Witir pada malam-malam separuh yang terakhir (dari bulan Ramadan) kerana diharapkan padanya berlaku malam Al-Qadar.” (Latha’if Al-Ma’arif, Ibn Rajab, 1/176)
Terdapat juga sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA melalui Jami’ Tirmizi dan juga Sunan Abu Daud:
Maksud: “Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam Witir: “Ya Allah ya tuhan kami! Kurniakanlah petunjuk kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjukMu.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 464)
Untuk bacaan doa Qunut, ia adalah sama seperti bacaan doa Qunut yang dibaca ketika di dalam solat Subuh.
Disunatkan juga kepada anda jika ingin memanjangkan Qunut dengan membaca Qunut Umar bin Khattab yang panjang dengan menambah bacaannya, iaitu:
Maksud: “Ya Allah ya tuhan kami, kami memohon pertolongan kepadaMu. Kami memohon ampun kepadaMu dan kami tidak mengkufuriMu. Kami beriman denganMu dan kami membenci sesiapa yang menderhakaiMu. Ya Allah ya tuhan kami! Hanya kepadaMu kami sembah dan hanya untukMu kami bersolat dan bersujud.”
Bacaan doa Qunut dalam witir merupakan sunnah yang Baginda dan para sahabat telah amalkan. Ia adalah salah satu cara untuk mendapatkan malam Qadar.
Ia juga mula dibaca pada pertengahan bulan Ramadan, iaitu pada malam ke-16 Ramadan. Jadi, sama ada anda solat Tarawih secara bersendirian atau mengimami orang lain, disunatkan untuk membaca doa Qunut pada rakaat terakhir Witir.
Semoga dengan usaha ini dapat memandu kita ke arah Lailatul Qadar.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.