Oleh Natirah Azira • 27 Apr 2020 • 3 min baca
Ramadan kali ini pasti menyaksikan ramai ‘imam-imam baharu’ muncul mengetuai Solat Tarawih di rumah. Mungkin ada yang takut-takut dan gugup apabila ditolak ke hadapan menjadi imam namun jika berterusan mengelak pun malu juga.
Jangan risau. Ia sebenarnya langkah yang sangat berani untuk diri anda sendiri. Dengan tugasan baru ini, sedikit sebanyak kita berpeluang memperbetulkan bacaan serta menghafal surah-surah pendek yang sebelum ini hanya dibaca sahaja.
Walau bagaimanapun, penting untuk kita mengetahui bahawa salah satu syarat menjadi imam solat ialah memastikan bahawa bacaan Al-Fatihah betul. Hal ini kerana, bacaan Al Fatihah adalah rukun dalam solat.
Jadi bagaimana pula jika kita mendapati bacaan Al-Fatihah imam tidak betul? Adakah solat yang ditunaikan bersama-sama masih sah?
Orang yang tidak betul bacaan Al-Fatihahnya sekalipun tertinggal satu huruf dipanggil ‘ummi’.
Bagi makmum yang sudah tahu bahawa imam yang diikuti mempunyai kelemahan dalam bacaannya seperti tidak membaca dengan betul sehingga mengubah makna, tetapi masih tetap mengikutnya maka batal solatnya dan perlu mengulang semula solat tersebut.
Namun jika imam tersebut sama sahaja taraf bacaan dengan makmum, maka tidak batal solat. Begitu juga jika kesalahan yang berlaku ringan sahaja dan tidak mengubah makna, maka tidak batal solat. Berikut adalah senarai kesalahan yang mengubah makna dan juga tidak mengubah makna.
1. Membaca أنعمتَ yang berbaris atas hujungnya, dengan baris depan atau bawah, atau إياكَ yang berbaris atas hujungnya dengan baris bawah.
2. Membaca المستقيم dengan mengidghamkan huruf sin dengan tha seperti المثتقيم. Keadaan seperti ini dipanggit أرت (Arat).
3. Membaca مغضوب dengan menukar huruf ghain dengan ra’ seperti مرضوب. Keadaan ini dipanggil ألثغ (Althagh).
4. Membaca الضالين dengan menukarkan huruf dhad dengan zha seperti الظالين mengikut qaul yang paling sahih.
5. Membaca الذين dengan menukarkan huruf dzal dengan dal seperti الدين.
6. Membaca الحمد dengan menukar ha’ kepada ḥa’ seperti الهمد
7. Menghilangkan satu syaddah/sabdu yang empat belas dalam Fatihah.
1. Membaca مالك (Maaliki) dengan menambah sabdu pada huruf lam atau kaf sedangkan huruf lam berbaris bawah.
2. Membaca tanpa dengung, pendek dan panjang harakat mad, tiada qalqalah dan sebagainya yang tidak mengubah makna.
3. Membaca الضالين (Ad-dholliin) dengan menukarkan huruf dhad dengan ẓa seperti الظالين (Az-Zholliin) mengikut qaul yang berbeza dengan asah, kerana sukar dibezakan kedua-dua. Ini adalah pendapat Imam Fakhrurrazi seperti yang disebut dalam tafsirnya.
4. Membaca المستقيم dengan menukarkan qaf dengan huruf gaf parsi, seperti yang disebut oleh orang Yaman, tetapi makruh menurut sebahagian ulama, dan sebahagian lain tidak memakruhkannya.
5. Membaca بسم الله dengan menukar ha’ di hujungnya yang berbaris bawah dengan baris hadapan.
Ringkasnya, setiap orang perlu memperbaiki bacaan Al-Quran khususnya Surah Al-Fatihah yang akan sentiasa dibaca dalam solat. Malah Rasulullah SAW sendiri ketika hayat baginda akan didatangi oleh Malaikat Jibril setiap tahun pada bulan Ramadan untuk mengajar dan membaca Al-Quran bersama-sama. Apabila bacaan Al Fatihah sudah betul, maka akan lebih yakinlah untuk para imam melazimi dan membaca surah-surah lain pula.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.