Ibadah

Bagaimana Jika Terlupa Niat Untuk Berpuasa Di Bulan Ramadan

Oleh Fizah Lee  •  24 Apr 2020  •  3 min baca

Niat puasa sunat dan puasa wajib adalah berbeza. Apabila terdetik di hati kita untuk melakukan puasa sunat Isnin Khamis contohnya dan kita masih belum makan (atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa) sebelum masuk tengah hari (matahari tegak di kepala), maka kita sudah boleh memulakan puasa pada hari itu.

Berbeza dengan niat puasa wajib di bulan Ramadan. Ia perlu dilakukan pada waktu yang tertentu bagi menjadikan ibadah itu sah. Ia merupakan salah satu syarat sah ibadah ini dan jika ditinggalkan, maka ibadah tersebut terbatal.

Hal ini ada disebutkan secara jelas di dalam kitab fikh, antaranya Ibnu Qasim – “Dan kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara; salah satunya (niat) di dalam hati. Sekiranya puasa yang fardu seperti puasa Ramadan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam.” (Fath Al-Qarib, 1/136)

Niat boleh dilakukan pada waktu malam, bermula dari tenggelam matahari sehinggalah sebelum subuh. Adapun, buat mereka yang terlupa meniatkan di hati untuk berpuasa keesokan harinya, maka puasanya adalah tidak sah.

Dari Hafsoh Ummul Mukminin, Nabi SAW berkata: “Barangsiapa yang tidak berniat di malam hari sebelum fajar, maka tidak ada puasa untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 656)

Melalui hadis ini, jelaslah bahawa seseorang yang terlupa atau secara sengaja tidak meniatkan puasa untuk keesokan harinya, maka puasanya adalah tidak sah dan wajib untuknya mengqada’ puasa yang ditinggalkan selepas selesai Ramadan.

Adakah Bangun Sahur Dikira Cukup Untuk Mengantikan Niat

Niat itu terletak di hati. Sebenarnya, jika anda sudah terdetik di hati untuk berpuasa keesokan harinya, maka itu sudah dikira sebagai niat.

Apabila seseorang itu bangun untuk bersahur, ia juga sudah dikira berniat kerana tujuan asal sahurnya adalah untuk menunaikan puasa.

Hal ini juga adalah sama dengan mereka yang sudah menyediakan makanan sahur untuk esok atau sudah mengunci jam penggera untuk bangun sahur, maka ia adalah perbuatan asal yang menjurus kepada niat sahur.

Maka, dalam hal ini, jika tidak bangun sahur disebabkan tidur mati, juga adalah dikira sudah niat berpuasa.

Hal ini ada dinukilkan melalui Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang bermaksud:

“Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat). Kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa).” (Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-minhaj, 3/386)

Kesimpulan

Jangan ralat dahulu jika anda terbangun di waktu Subuh menyedari bahawa anda belum meniatkan puasa atau terlepas sahur.

Hal ini kerana, anda sebenarnya sudah berniat untuk berpuasa, namun secara tidak langsung dan ibadah anda adalah sah. Maka, tidak perlu menggantikan puasa tersebut.

Sebagai saranan, anda boleh mulakan puasa Ramadan anda dengan meniatkan untuk berpuasa selama 30 hari secara terus.

Hal ini adalah untuk dijadikan sebagai salah satu back up kepada ibadah anda. Namun, jangan pula ditinggalkan niat puasa pada setiap malam (selagi anda ingat) melainkan jika anda terlupa secara tidak sengaja.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami