Gaya Hidup, Keluarga

Mengapa Pasangan Curang? Ini Idea Yang Perlu Dibetulkan

Oleh Saifuddin Hamizan  •  21 Apr 2020  •  9 min baca

Semasa saya melihat rancangan TedTalk seorang speaker bernama Esther Perel bawakan satu tajuk syarahannya “Rethinking Infedility, a talk for anyone who has loved” yang mensyarahkan tentang idea kecurangan yang perlu diperbetulkan.

Selalunya bila seseorang itu ada masalah dalam perhubungan seperti dicurangi pasangan maka yang terbit dalam fikirannya dan kebanyakan orang di sekeliling ialah “dia bukan right person”. Istilah right person selalu dipopularkan oleh kebanyakan motivator di ruang sosial media untuk meringkaskan kefahaman orang tentang pasangan yang sekufu.

Adakalanya istilah ini terlalu mudah dilabelkan pada setiap keadaan sehinggakan kita menzalimi pasangan lain yang hendak merujuk semula pasangan setelah berpisah, kita anggap kecurangan ialah penamat seperti kita mati. Walhal di dalam isu kecurangan ada pelbagai dimensi dan isu dalaman yang kita tidak begitu fahami dengan baik.

Penulis bukan hendak membela sesiapa yang curang, disini penulis hendak tekankan bahawa tidak semua masalah kecurangan itu berakhir setakat pada “right person” atau “wrong person”.

Semasa awal pun penulis terjebak dengan isu-isu perhubungan, buku-buku motivasi seperti Greg Behrendt dan Liz Tuccillo bertajuk “He’s Not Just That Into You” sehinggakan ada filem mengadaptasi kepada buku anekdot ini.

Buku ini hanyalah anekdot atau kisah pengalaman peribadi semata-mata. Namun acapkali orang kebiasaan menganggap buku ini sebagai bahan rujukan yang paling sesuai untuk mengukur tahap keserasian seseorang itu dengan dirinya.

Sebenarnya perlu diperbetulkan bahawa ada beza pemikiran motivasi dengan pemikiran psikologi yang sebenar.

Motivasi selalu mempromosi sesebuah idea itu berdasarkan pengalaman peribadi atau beberapa pendapat yang separa benar namun tidak sahih disisi kajian. Sedangkan psikologi adalah ilmu yang berteraskan kepada ilmu alat seperti data statistik, psikometrik (ilmu mengukur keabsahan perangai manusia) dan lain lagi untuk mencapai tahap validasi (kesahihan) dan reliable (dipercayai/disokong) dalam sesuatu pendapat.

Maka bila berbalik soal isu kecurangan, kita hendaklah bebaskan mentaliti kita dari sebarang pemikiran binary (hitam dan putih) yang mana setiap masalah perhubungan cuma ada kesimpulan “ya atau tidak” sahaja.

Walhal tidak semudah itu kerana psikologi atau perangai manusia begitu rumit sekali untuk ditentukan dengan sekadar label “right person” atau “wrong person”.

Melihat baru-baru ini juga ada filem berkaitan dengan kecurangan dalam kekeluargaan seperti Marriage Story (2019) dan The World of Married (2020) menggambarkan situasi dimana pasangan yang kelihatan luarannya kacak dan cantik, kaya, bekerjaya, dan memiliki segalanya boleh berlaku pencurangan dan perceraian.

Jika kita lihat dari jendela falsafah maka betullah berlakunya perpisahan yang tidak terduga begini adalah disebabkan isu-isu dalaman berkaitan dengan emosi kedua pasangan, bukan semata-mata masalah tidak cukup serba serbi faktor luaran seperti fisiologikal (makan minum dan tempat tinggal), keselamatan (pekerjaan, simpanan wang, insurans/takaful) dan psikologikal (memiliki pasangan dan orang tersayang).

Definisi Kecurangan?

Esther Perel ada menjelaskan dalam syarahannya bahawa setiap pasangan ada definisinya tersendiri dalam meletakkan kecurangan disisi masing-masing. Bahkan pendapatnya juga mengatakan, pasangan yang amalkan “open relationship” (pasangan terbuka) seperti yang diamalkan secara minoriti oleh bangsa Eropah kini pun ada masalah curang ketika Perel masih menjawat tugas sebagai ahli psikoterapi kekeluargaan.

Saya yang pertama kali dengar pun rasa agak teruja dengan pengkhabaran begini, kerana seingat saya mereka yang mengamalkan hubungan songsang begini biasanya tidak kisah soal pasangannya untuk mengadakan hubungan seksual dengan sesiapa pun. Rupanya definisi curang adalah sangat besar dan luas bergantung kepada pasangan itu sendiri.

Perel mengatakan definisi ini umpama “kontrak emosi” atau “pagar-pagar emosi” yang kita metrai selain dari akad perkahwinan itu sendiri mengikut agama masing-masing. Namun malangnya ramai yang tidak memandang serius kepada masalah ini sehingga selepas beberapa dekad perkahwinan, timbullah pergaduhan kerana dicurangi.

Kita sebagai umat islam percaya bahawa kontrak sosial wujud dalam agama seperti mana dalam firman Allah SWT ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Maidah 5:1)

Kata Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili: “Janji adalah satu sifat yang terpuji. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan nifaq. Meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka, secara syarak, wajib untuk menepati janji. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, sebenarnya dia telah melakukan maksiat dan dosa.” (Rujuk al-Tafsir al-Munir, 15/73)

Ingatkah kita semua selepas sahaja pegawai jabatan agama islam memetraikan pernikahan bagi sesebuah pasangan pengantin, akan dibaca juga selepas itu teks lafaz ta’liq? Itulah kontrak perkahwinan yang ditetapkan oleh perundangan islam bagi setiap negeri. Maka perkara ini amat perlu diberi penekanan lagi-lagi isu yang berkaitan dengan emosi dan perasaan.

Saya teringat kepada idea Ustazah Fatimah Syarha yang agak kontroversi berkenaan dengan idea lafaz Ta’liq untuk menolak poligami, jika sang suami melanggar maka terputuslah ikatan perkahwinan. Walaupun ada kekhilafan dari segi kesahihan lafaz ini namun itulah contoh “kontrak emosi” atau pagar-pagar emosional yang pernah dibuat dan diamalkan oleh sebahagian umat islam di negara ini.

Cuma idea penulis kali ini tidaklah sampai perlu memasukkan setiap perjanjian itu ke dalam lafaz ta’liq, ini hanya akan membebankan tugas pemerintah lagi. Cukuplah bagi kita dan pasangan sahaja memberikan definisi yang jelas di mana dan bagaimana “pagar-pagar emosional” yang seharusnya dipersetujui bersama.

Dalam ilmu psikologis perhubungan, seperti yang disebut oleh Elizabeth Earnshaw (Licensed Marriage and Family Therapist) dibawah kendalian Institute of Gottman menyebutnya sebagai “Emotional Boundaries” (Pagar-Pagar Emosi Dalam Sesebuah Pasangan).

Pada setiap perkahwinan atau perhubungan tidak sama definisi curangnya, ada yang beranggapan berada dalam kumpulan whatsapp yang ada berlawan jantina pun sebagai curang, ada yang menganggap berkawan dengan bekas pasangan di media sosial pun sebagai curang, ada yang menganggap aktifkan diri ke dalam kumpulan mencari jodoh pun sebagai curang, ada yang menganggap menonton filem pornografi sebagai curang, ada yang menganggap bergurau bersama rakan sekerja yang berlainan jantina pun sebagai curang.

Bagaimana dengan pagar emosi kita? Sudahkah dibincangkan bersama pasangan secara matang dan bersetuju bersama? Psikologis kebanyakannya mengatakan kita perlu mewujudkan perbincangan mendalam atau disebut sebagai “deep conversation”. Ada yang sebut “hard/diffilcut conversation” kerana isu-isu yang dibincangkan secara mendalam itu ada soalan yang sensitif, malu, janggal dan rasa bersalah namun kesannya boleh dilihat pada masa akan datang.

Ramai orang mengeluh dirinya dicurangi, bila diperhatikan rupanya sejak awal bertunang lagi perkara-perkara ini tidak dibincang dan persetujui bersama. Sedangkan salah satu dari peruntukkan khitbah (tunang) dalam Islam ialah boleh berbincang dan menyesuai kenal antara satu sama lain. Islam tidaklah begitu rigid sehingga melarang lelaki dan perempuan dari bercakap terus terang.

Berbual Secara Mendalam

Brene Brown penulis buku “The Power of Vulnerability” selalu menekankan soal berterus terang dengan pasangan, ahli keluarga dan masyarakat kerana menjadi seorang yang jujur, terbuka dan meraikan boleh mensejahterakan kehidupan kita keseluruhannya.

Menjadi lutsinar seperti cermin kepada pasangan akan mencetuskan rasa senang dan Bahagia kerana secara fitrahnya, kita suka bila pasangan itu jujur depan kita, tidak bermuka-muka.

Tanyalah sesiapa sahaja pun tiada siapa yang suka orang yang gemar berahsia bila melibatkan hubungan terdekat seperti pasangan, kekeluargaan dan persahabatan. Kerana dengan kejujuran maka berkurangan kes kecurangan, sebab kita tiada masa hendak berasa sangsi dan ragu-ragu dengan si dia.

Kebanyakan pasangan yang ada masalah tidak pasti dan takut dengan masa depan dengan pasangannya ialah yang paling minima dalam bercakap hal-hal dalaman. Seperti isu-isu keperluan emosi, bahasa cinta, pagar emosi, bagaimana gaya hidup yang disenangi, apa mazhab kewangan pasangan, apa kepercayaan pasangan pada ideologi tertentu. Segalanya itu amat penting untuk diketahui kerana kita akan hidup dengannya kalau boleh sehingga hujung usia.

Maka berbual secara mendalam perlu dijadikan sebagai kaedah menapis sejak awal berkenalan, kerana dari situ kita boleh membezakan dimana berkenalan secara “casual dating” (menganggap perkenalan percintaan umpama sebuah event) atau “vulnerable” (berterus terang, jadi diri sendiri).

Bercinta pada awal lagi dengan gaya casual dating saya analogikan macam kita pergi ke majlis makan malam rakan sekerja, atau pergi temuduga kerja di sebuah syarikat, kita tentulah pergi dengan pakaian paling kemas dan segala-galanya kepura-puraan. Sebab kita takut tidak terpilih.

Namun dalam hal perhubungan yang bersifat peribadi, kita perlu keluar dari pemikiran sedemikian kerana pasangan kita adalah orang yang akan hidup dengan kita sampai bila-bila.

Status Quo : Awak Mesti Terima Saya Seadanya

Bersandarkan pengalaman saya membaca penulisan orang lain yang membahaskan soal kecurangan, selalunya si penulis akan salahkan sepenuhnya orang yang curang itu tanpa melihat apakah punca sebenar dari berlakunya kecurangan.

Perel pernah memecahkan stigma ini dengan berkata, manusia terlalu selesa hidup dalam “status quo” iaitu menganggap sebuah perkahwinan itu hendak atau tidak mestilah terima pasangan seadanya walaupun pasangan semakin tidak ada peningkatan dan perubahan dalam hidup.

Lebih-lebih lagi zaman hari ini yang mana untuk mengenali orang lain begitu mudah dengan telefon pintar di tangan dan pelbagai aplikasi mencari jodoh mudah dijejaki oleh kita semua. Maka pasangan perlulah sentiasa memainkan peranan dan berfungsi sebagaimana sejak awal kita bercinta dahulu.

Semasa awal perkenalan, kita dan pasangan sama-sama hendak buat yang terbaik semasa makan bersama, keluar bersama, bertemu keluarga bersama. Lalu selepas kahwin terus malap? Tidur dan makan sahaja tidak bersenam? Kerja sahaja sehingga lesu upaya (burnout)?

Ini yang menjadikan kecurangan itu berlaku secara tidak sedar. Sekali lagi, penulis bukan membela mereka yang curang cuma penulis ingin mengajak pembaca berfikir mengapa kecurangan ini selalu berlaku.

3 Tiang Utama Kepada Kecurangan

Menurut Esther Perel dalam bukunya “State of Affairs : Rethinking Infedility”, masalah kecurangan adalah berpaksikan kepada 3 tiang utama semasa dalam kajiannya sepanjang menjadi psikoterapi, iaitu:

Kerahsiaan

Menjadi lutsinar pada pasangan amat penting bagi memberi keyakinan bahawa sejak awal perhubungan hinggalah akan datang, suatu perhubungan itu lebih licin dan mudah. Jangkauan atau ekspetasi yang dibuat ke dalam perhubungan lebih mudah ditetapkan.

Bila kita sejak awal lagi sudah berahsia bermacam hal, timbul waktu akan datang kita sendiri atau pasangan kita tercurang dalam perhubungan.

Keintiman/Keinginan Dalam Seksual

Dalam perkahwinan, manusia bukan setakat inginkan hubungan seksual fizikal semata-mata namun manusia juga inginkan perhatian emosi yang sebenar dan keinginan yang paling dalam sekali semasa berintiman. Ramai juga yang rasa dirinya terseksa ketika dalam hubungan intim kerana pasangan tidak saling kenal-mengenal tentang apakah keinginan antara satu sama lain.

Penglibatan Emosi

Manusia umumnya selain perlukan sokongan fisiologikal (makan, minum dan tempat tinggal) & psikologikal (rasa ingin berteman, memiliki cinta dan kasih sayang), mereka perlukan juga penghargaan diri tertinggi seperti mencapai sesuatu dalam hidup.

Bukan sekadar statik dalam hidup, contohnya hubungan perkahwinan 10 tahun yang tiada apa-apa perubahan lebih menghadirkan kecenderungan untuk berpisah berbanding yang berubah dengan sesuatu yang positif pada setiap fasa.

Mesej yang paling jelas disini yang saya nampak dari buah fikiran Esther Perel ialah kita perlu adakan perbualan mendalam tentang makanan emosi masing-masing yang perlu digemukkan. Kedua ialah fitrah manusia tidak suka berada dalam situasi hidup yang mendatar dan bosan.

Pasangan perlu reka cipta “Love Map” (peta cinta) supaya setiap fasa peringkat umur, mereka ada sesuatu hendak capai. Maka kuranglah masa untuk berfikir benda negatif yang boleh menjerumuskan kedua pihak ke dalam kancah perpisahan dan menderita.

Rujukan :

The Real Reasons Why Couples Face Infidelity
Rethinking Infedility A Talk To Anyone Who Has Ever Loved


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan meneruskan sijil Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Penulis buku Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Mustread) & Cinta (PTS SDN BHD)

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami