Ulasan Buku

Tafsir Surah Al-Fatihah – 5 ‘Fun Fact’ Surah Ini Untuk Diketahui

Oleh Fizah Lee  •  15 Apr 2020  •  5 min baca

Surah al-Fatihah merupakan pembukaan surah atau dikenali sebagai Fatihatul Kitab. Disebabkan itu, ia sering digelar sebagai pembuka dan digunakan sama ada dalam solat dan juga dalam aktiviti-aktiviti lain seperti majlis ilmu dan sebagainya.

Surah ini adalah surah pertama daripada 114 surah yang terkandung di dalam al-Quran. Walaupun ia bukanlah surah pertama yang diturunkan, namun ia dikenali sebagai surah pembuka sejak zaman Baginda SAW lagi.

Seorang tokoh tafsir bernama al-Imam Fakhrul Razi RA berkata, terdapat banyak kelebihan yang boleh diperoleh melalui surah al-Fatihah.

Antaranya, Allah SWT menurunkan surah ini sebagai ubat kepada penyakit rohani dan juga jasmani. Apabila dilihat kepada pengamal-pengamal perubatan Islam, mereka mengamalkan surah al-Fatihah sebagai ruqyah untuk menyembuhkan pelbagai penyakit.

Selain itu, banyak cabang ilmu yang dapat dicungkil melalui surah ini, iaitu ilmu tauhid, ilmu amal makruf dan nahi mungkar serta ilmu nakisah (cerita-cerita zaman dahulu).

Jadi, antara perkara menarik mengenai surah al-Fatihah yang telah dirungkai melalui buku ini ialah;

#1 – Surahnya Diturunkan Secara Penuh

Pendapat kuat mengatakan bahawa ia telah diturunkan di Mekah. Ia ada ditulis oleh al-Wahidi melalui kitabnya yang bertajuk Asbabun-Nuzul dan Ats-Tsalabi dari riwayat Ali bin Abi Talib.

Menurut sebuah riwayat dari Abu Syuaibah melalui al-Mushannaf menyebut bahawa – surah ini diturunkan secara penuh bermula dari Bismillahir Rahmaani Rahim sehingga Waladhdaalin.

Melalui surah Al-Hijr, ada disebut mengenai tujuh ayat yang dimaksudkan dengan surah Al-Fatihah. Menurut Ibnu Katsir, ia adalah tujuh ayat yang diulang-ulang dalam setiap kali rakaat solat.

Mafhum: “Dan sesungguhnya, Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.” (Surah al-Hijr, 15;87)

#2 – Sebagai Rukun Solat

Segala solat yang dilakukan adalah tidak sah jika tidak dibacakan surah al-Fatihah. Ia hendaklah dibaca pada tiap-tiap rakaat dalam solat sama ada ia adalah solat sunat mahupun wajib.

Maksud: “Dari Ubadah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW solat Subuh dan memberati padanya bacaan. Maka, tatkala solat selesai, Baginda berkata: “Aku perhatikan kamu membaca.” Ubadah berkata: “Ya, aku membaca.” Lalu Baginda bersabda: “Jangan kamu lakukan itu, kecuali dengan ummul-Quran. Kerana sesungguhnya, tidak sah solat bagi barangsiapa yang tidak membacanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmii)

#3 – Diaminkan Bacaan

Walaupun ‘amiin’ bukan termasuk dalam tujuh ayat surah al-Fatihah, namun apabila dibaca dalam solat, imam dan makmum akan menguncinya dengan bacaan ‘amiin’.

Menurut jumhur ulama, ‘amiin’ itu sendiri membawa maksud – “Ya Allah, perkenankanlah permohonan kami.”

Maksud: “Dari Abu Hurairah berkata, apabila Baginda telah sampai kepada akhir surah al-Fatihah, Baginda akan menyebut ‘amiin’ sehingga didengari oleh jemaah yang mengikutinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

#4 – Susunan Ayat Yang Menyeluruh Dan Tertib

Susunan ayat daripada surah ini sangatlah menyeluruh bermula daripada keimanan kita kepada Allah sehingga membawa kepada kesan kehidupan kita dalam masyarakat.

Dilihat pada ayat yang pertama – Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang: Melalui ayat ini, kita memuji sifat Rahman dan Rahim Allah.

Kemudian, pada ayat kedua – Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam: Ia menunjukkan sanjungan dan pujian kepada Allah kerana Dia telah menjadikan kita untuk hidup di muka bumi ini.

Seterusnya – Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani: Kita ulang lagi pujian terhadap sifat Allah, iaitu Rahman dan Rahim.

Seterusnya – Yang Menguasai Pemerintahan hari pembalasan (hari akhirat): Dalam ayat ini, kita mengakui akan kekuasaan Allah bukan sahaja ke atas hari ini, namun hari yang bakal tiba, iaitu hari akhirat.

Seterusnya – Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan: Pada ayat ini pula kita mengakui akan kehambaan kita hanya padaNya dan tidak berlaku syirik.

Seterusnya – Tunjukilah kami jalan yang lurus: Di sini, kita memohon kepada Allah agar dilindungi daripada perkara-perkara mungkar dengan sentiasa berada dalam jalan yang diredaiNya.

Akhir sekali – Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang telah Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat: Ayat ini juga menunjukkan bukti kehambaan kita kepadaNya dengan meminta agar kehidupan di dunia ini selamat daripada perkara-perkara yang sesat.

Pada ayat keenam dan ketujuh menunjukkan akan sikap kehidupan kita di dunia ini. Jika kita menginginkan jalan yang lurus, maka kita akan mengikut perintahNya dan jika kita melakukan perkara yang terlarang, maka sebaliknya yang akan terjadi.

#5 – Sebagai Penawar

Hebatnya surah ini juga adalah ia boleh bertindak sebagai salah satu ikhtiar untuk menjadi penawar penyakit.

Diriwayatkan pada zaman Baginda SAW, ada beberapa orang sahabat yang telah melakukan perjalanan jauh dan kemudian mereka berhenti rehat di sebuah perkampungan Arab.

Kebetulan, ketua kampung perkampungan itu sakit dan mereka bertanya jika terdapat sesiapa yang boleh mengubatinya.

Kemudian, salah seorang sahabat telah membaca surah al-Fatihah dan tidak lama selepas itu, ketua kampung tersebut sembuh. Lalu mereka telah bertanya kepada nabi SAW. Kemudian, Baginda menjawab:

Maksud: “Bagaimana kalian tahu kalau surah Al-Fatihah itu adalah penawar? Terimalah pemberian daripada mereka dan masukkanlah saham aku bersama-sama dengan kalian.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2064)

Kesimpulan

Setiap surah mempunyai seribu satu rahsia dan kelebihannya yang tersendiri. Surah al-Fatihah yang merupakan surah pembuka sebenarnya merupakan doa dan senjata kita setiap hari untuk menuju Allah suatu hari nanti.

Oleh itu, amalkan surah ini untuk menjadikan roh dan jiwa kita terisi dengan iman yang jitu. Fahamilah surah ini untuk kita mencapai maksud hakikat kehidupan ini.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Buku – Tafsir Surah Al-Fatihah dan Juzuk 1 oleh Hamka, Terbitan PTS


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami