Inspirasi, Sejarah

Kisah Nabi Yunus Yang ‘Dikuarantin’ Dalam Perut Ikan Nun

Oleh Fizah Lee  •  9 Apr 2020  •  5 min baca

Kisah Nabi Yunus AS tidak asing lagi dalam kalangan kita. Kisah baginda yang terperangkap di dalam perut ikan nun merupakan antara iktibar yang boleh dipelajari. Apa iktbar tersirat yang boleh kita lihat? Sebelum itu, ayuh kita singkap sejenak apa kisah yang berlaku kepada baginda AS.

Di dalam kitab tafsir Ibnu Katsir ada mengisahkan bahawa baginda telah ditelan oleh ikan paus. Ada jumhur ulama yang menyebut bahawa ikan nun itu tidak sama dengan ikan paus dan sebahagiannya lagi menyifatkan bahawa ia adalah serupa sahaja.

Nabi Yunus berasal daripada keturunan Bunyamin dan telah dilantik sebagai nabi ketika berusia 30 tahun.

Baginda AS telah berdakwah kepada kaumnya selama 30 tahun. Namun, kaumnya degil dan menolak ajakan dakwah baginda. Tidak ramai yang mahu beriman kepada Allah.

Disebabkan kedegilan kaumnya itu, baginda telah mengadu kepada Allah. Namun, Allah menyuruh Nabi Yunus tetap meneruskan dakwahnya kepada kaum tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan. Ada beberapa riwayat yang mengatakan bahawa tempoh masa tersebut ialah selama 40 hari.

Jika dalam masa yang diberikan itu tidak berjaya membendung kedegilan kaumnya, Allah akan menurunkan bala kepada mereka.

Namun, apabila masa semakin suntuk, kelihatan awan hitam telah keluar dan mula berarak di langit. Disebabkan baginda takut akan azab yang bakal menimpa, lalu baginda mengambil keputusan untuk meninggalkan kaumnya.

Namun, tahukah anda dalam tidak disangka sebenarnya kaum yang ingkar tadi telah mula terdetik untuk menyahut seruan Nabi Yunus terutamanya apabila mereka melihat awan hitam yang begitu meggerunkan hati mereka.

Mereka mula mencari Nabi Yunus, namun hampa kerana baginda sudah pergi daripada kaumnya untuk menyelamatkan diri.

Nabi Yunus Dilempar Dari Kapal

Nabi Yunus telah melarikan diri dengan menaiki kapal. Namun, malang tidak berbau apabila kapal yang dinaikinya telah dibadai ombak kencang dan hampir tenggelam disebabkan oleh muatan yang penuh.

Mereka mengambil keputusan untuk meringankan beban kapal tersebut dengan membuang sedikit muatan. Namun, keadaan tetap tidak pulih.

Disebabkan itu mereka telah membuat undian untuk melemparkan salah seorang daripada penumpang di atas kapal ke dalam lautan.

Tiga kali undian dilakukan dan ketiga-tiganya tertuju kepada Nabi Yunus. Apabila melihatkan situasi yang memihak kepadanya, Nabi Yunus akur.

Namun, nasibnya tidak hanya terhenti di situ kerana Allah telah menghantar ikan nun untuk menelan Nabi Yunus. Baginda AS ditelan bulat-bulat tanpa sebarang kecederaan yang menimpanya.

Mafhum: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku), maka ia pun merayu dalam keadaan gelap gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku sendiri dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (surah Al-Anbiya, 21:87)

Apa Yang Nabi Yunus Lakukan Dalam Perut Ikan Nun

Dalam waktu inilah, baginda mula sedar bahawa kejadian yang telah menimpanya adalah balasan Allah kerana telah meninggalkan kaumnya terkapai-kapai sebelum tempoh masa yang diberikan berakhir.

Baginda telah berputus asa sebelum sampai masanya dan ia adalah perbuatan yang sangat dibenci kerana kita telah berpaling dan memutuskan usaha ke atas sesuatu perkara yang sedang diusahakan.

Sepanjang tempoh berada dalam perut ikan nun, baginda tidak putus-putus berdoa dan memohon keampunan kepada Allah, berharap agar Allah mengampunkan dosanya yang telah dilakukan terhadap kaumnya.

Perasaan lapar kerana tiada makanan, perasaan takut kerana keadaan perut ikan yang gelap gelita dan perasaan kesakitan yang menimpa diri itu mula wujud dalam diri baginda.

Bayangkan, jika anda dikurung di dalam tempat yang sunyi-sepi dan gelap gelita. Apa yang boleh anda lakukan melainkan dengan mengharapkan bantuan luar.

Siapa orang luar yang akan memberi bantuan kepada anda jika tiada orang yang tahu keberadaan anda? Pastinya pada waktu itu anda akan mula memohon kepada Allah, tuhan sekalian alam kerana waktu inilah anda hanya akan mengharapkan kepada keajaiban.

Mungkin salah teori yang saya bawakan, namun bagi sesetengah orang, itulah yang akan mereka lakukan. Berharap kepada yang Maha Kuasa. Dan itu jugalah yang dilakukan oleh Nabi Yunus.

Baginda tukarkan perasaan takut itu kepada sebuah pengharapan yang sangat besar kepada Allah. Jika benar baginda akan terperangkap di dalam perut itu selama-lamanya, biarlah Allah mengambil nyawanya di saat dosanya telah diampunkan.

Dan jika masih punya harapan untuk baginda keluar daripada perut ikan itu, biarlah Allah keluarkan baginda dalam keadaan baginda tidak ingkar akan arahan Allah.

Dalam tempoh inilah baginda mengambil peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah, bermunajat dan memohon keampunan. Baginda memperbanyakkan zikir, istighfar dan amalan-amalan sunat lain agar Allah memberinya peluang kedua.

Sehingga akhirnya Allah telah mengeluarkan baginda daripada perut ikan nun itu dengan melemparkannya ke sebuah pulau dan memberinya peluang kedua dengan ganjaran nikmat dan menyembuhkannya daripada penyakit yang dialami.

Itulah Allah, Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Siapalah kita untuk melawan takdir Allah. Namun, apabila diimbas kembali, setiap yang Allah hadirkan dalam hidup kita adalah bersebab.

Mungkin sebagai balasan atas dosa-dosa kecil mahupun besar yang telah terlanjur ataupun kerana Allah ingin mengingatkan kita kepadaNya sendiri untuk lebih dekat dan tidak melupakan pergantungan kepada tuhan.

Kesimpulan

Dalam tempoh kuarantin ini, kita masih diberi nikmat yang cukup besar, iaitu kerajaan dan barisan pemimpin yang baik dan prihatin akan rakyat, punya tempat untuk berteduh, punya teknologi untuk berhubung dan mendapatkan maklumat serta banyak lagi nikmat yang cukup banyak dan berjela jika hendak disenaraikan di sini.

Apa kata, sebelum kita mengeluh, dongak sedikit ke atas dan pandang lebih lagi ke hadapan. Lihatlah bagaimana negara lain mahupun orang lain yang sedang bertarung dengan masalah wabak penyakit ini.

Jika ingin dibandingkan dengan peristiwa Nabi Yunus, amat jauh sekali. Sekurangnya kita masih punya cahaya matahari sedangkan kuarantin baginda penuh dengan gelap gelita.

Oleh itu, dalam masa ini, banyakkan bersyukur dan muhasabah kembali akan setiap tindak tanduk kita sebelum ini. Adakah amalan kita cukup untuk dibawa bekal menghadap Allah nanti?

Banyakkan berdoa dan memohon keampunan kepadaNya. Bukan keampunan ke atas dosa-dosa anda sahaja, namun dosa-dosa yang dilakukan oleh semua insan. Tidak salah mendoakan orang lain juga dalam masa yang sama anda akan diganjari pahala.

Jadi, bagaimana kuarantin anda setakat ini?

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah
Tzkrh.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami