Ibadah

Hukum Solat Berjemaah Dengan Jarak Satu Meter

Oleh Natirah Azira  •  6 Apr 2020  •  2 min baca

Umum mengetahui bahawa larangan berkumpul di masjid dan melakukan solat jemaah sudah berkuatkuasa sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Alhamdulillah, rata-rata umat Islam telah mematuhi perintah tersebut dengan baik demi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar iaitu penularan wabak COVID-19.

Namun di sesetengah tempat, solat jemaah masih boleh dilakukan mengikut keperluan contohnya ketika menunaikan solat ke atas jenazah yang meninggal dunia. Ada pula orang yang menunaikan solat jemaah di pusat-pusat kuarantin atau hospital dengan cara sedikit berbeza iaitu dijarakkan antara seorang makmum dengan makmum yang lain.

Malah Senator Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga dilihat melakukan solat jemaah dengan cara yang sedikit berlainan daripada biasa iaitu dengan tidak merapatkan saf (dijarakkan satu meter).

Apakah hukumnya solat dengan cara begini? Adakah pahala solat berjemaah masih diperoleh?

Pada asalnya, hukum merenggangkan saf adalah makruh dan dapat meluputkan pahala solat berjemaah. Hukum ini disandarkan kepada beberapa hadis.

Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلاَ تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu biarkan kekosongan (saf) itu untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf Allah akan menyambungkannya. Sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskan dirinya.” (Riwayat Abu Daud, no.666)

Walau bagaimanapun jika terpaksa merenggangkan saf kerana keperluan, maka hal itu tidak dihukumkan makruh atau haram. Ia berdasarkan kaedah fiqh di bawah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Perkara-perkara darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nazha`ir, ms.84)

Keharusan melakukan solat dengan cara bukan kebiasaan juga boleh diqiaskan dalam situasi lain. Contohnya seperti kebenaran menggunakan kerusi dalam solat bagi mereka yang tidak boleh sujud kerana sakit dan juga keperluan mendukung anak kecil ketika solat.

Perkara-perkara yang dimakruhkan dalam solat tidak menjadi makruh apabila terdapat keperluan untuk melakukannya.

Ulama usul mengeluarkan kaedah seperti berikut:

الكَرَاهَة تَزُولُ بالحَاجَة

Maksudnya: “Hukum makruh itu hilang apabila wujud keperluan” (Rujuk Ma`lamah Zayed, no.267)

Adakah Pahala Jemaah Masih Diperoleh?

Bagi persoalan ini, Imam Al-Syihab al-Ramli berpendapat bahawa pahala berjemaah masih diperoleh kerana tindakan bersolat dengan jarak yang jauh itu diperlukan bagi mengelak mudarat yang lebih besar dan bukan dilakukan secara sengaja.

Justeru bagi anda yang berada di tempat-tempat kuarantin dan kediaman masing-masing, solat jemaah masih boleh dilakukan dengan menjarakkan diri dengan makmum yang lain sekurang-kurangnya pada jarak 1 meter. InsyaAllah pahala berjemaah masih diperoleh. Wallahualam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami