Inspirasi

Siapakah Khidir Yang Disebut Dalam Al-Quran

Oleh Fizah Lee  •  2 Apr 2020  •  3 min baca

Sering kita dengar mengenai kisah Khidir, seorang lelaki pada zaman Nabi Musa yang sangat soleh dan bijaksana. Banyak kisah mengenai kehidupannya yang dirakamkan melalui sejarah-sejarah dan juga dalam kitab suci umat Islam, iaitu dalam surah Al-Kahfi daripada ayat ke-60 sehingga ke ayat 82.

Antara kisah beliau yang paling popular dan sering bermain di cuping telinga ialah ketika beliau sanggup merosakkan perahu untuk menghalang daripada dirampas.

Ekoran daripada itu, fikh hari ini mengambil kira akan permasalahan yang lebih kecil dapat membantu membendung masalah yang besar.

Seperti yang kita hadapi hari ini – pembatalan solat Jumaat dan juga aktviti-aktiviti berjemaah di masjid bagi membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19 sekali gus meletakkan kesihatan serta nyawa manusia pada paras yang selamat.

Namun, siapa sebenarnya beliau? Adakah beliau seorang lelaki soleh semata-mata? Mengapa nama beliau disebut-sebut di dalam Al-Quran bahkan para ulama juga menjunjung tinggi peribadi beliau.

Sebelum itu, dapat kita lihat melalui sebuah hadis yang menyebut bahawa Khidir adalah sebuah nama yang telah diberikan kepadanya disebabkan peristiwa ajaib yang telah berlaku kepadanya dengan izin Allah.

Maksud: “Sesungguhnya dinamakan Khidir kerana dia telah duduk di atas tanah putih (tanah yang kering tanpa tumbuhan), lalu bergoncang di belakangnya dan menjadi warna hijau (subur dengan tumbuhan).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3402)

Dengan ini, jumhur ulama berbeza pendapat dalam menentukan apa sebenarnya taraf beliau.

#1 – Khidir Sebagai Wali Allah

Dalam beberapa pendapat menyebut bahawa beliau adalah wali Allah yang amat soleh dan taat kepada segala perintahNya.

Hal ini ada disebut oleh beberapa ulama seperti Sheikh Abdur Rahman bin Nasir as-Sa’adi RA dan Imam al-Mawardi RA.

Menurut Tafsir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan (hlm. 482) menyebut – “Sesungguhnya hamba Allah yang ditemui Nabi Musa bukanlah seorang nabi tetapi beliau adalah seorang lelaki soleh, beliau telah disifatkan sebagai seorang hamba Allah yang dikurniakan dengan rahmat serta ilmu. Tidak disebut bahawa beliau dikurniakan risalah kenabian. Jika beliau adalah seorang nabi, nescaya perkara tersebut akan disebut sebagaimana hal yang berlaku ke atas nabi-nabi lain.”

#2 – Khidir Sebagai Nabi Allah

Jumhur ulama lain seperti Imam al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani, Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam Ibn Hazm al-Andalusi dan Sheikh abdul Razzaq al-‘Afifi RA menyebut bahawa Khidir adalah seorang nabi yang diutuskan Allah.

Hal ini boleh dirujuk melalui kitab-kitab tersohor nukilan para ulama ini. Ia juga adalah berdasarkan dalil yang berikut:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

Mafhum: “Lalu mereka dapati seorang dari hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu.” (Surah Al-Kahfi, 18:65)

Menurut penjelasan daripada Sheikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti RA, ayat tersebut menyebut bahawa rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat kenabian dan ilmu tersebut adalah wahyu yang diberikan kepada Khidir.

Kesimpulan

Melalui perbahasan daripada jumhur ulama, dapat kita lihat bahawa majoritinya berpandangan bahawa Khidir ialah seorang nabi Allah.

Hal ini adalah berdasarkan daripada dalil melalui Al-Quran yang telah ditafsir oleh kebanyakan jumhur ulama.

Walau bagaimanapun, dalam persoalan kita terhadap statusnya sama ada seorang nabi atau wali Allah, janganlah kita bertikam lidah kerana ia adalah sesuatu yang tidak wajar.

Status nabi dan wali Allah adalah dua perkara yang mulia dan dipandang tinggi di sisiNya. Justeru, menjadi kewajipan kita untuk memperbaiki diri dan mengambil iktibar daripada kisah Khidir untuk menjadi yang terbaik di mata Allah jua.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Kisah Khidir Membocorkan Perahu

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami