Hukum

Bolehkah Akad Nikah Dilakukan Melalui Panggilan Video?

Oleh Natirah Azira  •  21 Mar 2020  •  2 min baca

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 telah masuk hari yang keempat. Sebarang acara yang melibatkan perkumpulan orang ramai tidak dibenarkan malah dilarang keluar tanpa urusan yang benar-benar mustahak.

Perintah kawalan yang dikeluarkan ini selari pula dengan musim cuti sekolah yang biasanya menyaksikan banyak majlis perkahwinan diadakan. Sehubungan itu, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengeluarkan tatacara pernikahan di Wilayah Persekutuan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

Namun bagaimana pula jika lokasi antara pihak pengantin perempuan dan pengantin lelaki terlalu jauh contohnya berada di negeri atau negara lain. Bolehkah akad nikah berlangsung melalui sidang video atau panggilan video (video-call)?

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada Januari 2016 memutuskan bahawa hukum bagi menjalankan upacara akad nikah melalui sidang video adalah harus dan sah dengan syarat-syarat berikut:

1. Hendaklah majlis berlangsung di tahap yakin.

2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.

3. Memenuhi rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.

4. Ada halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.

5. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

Manakala menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, jika wali mujbir (ayah pengantin perempuan) pula berada jauh daripada pasangan yang akan berkahwin, wali boleh mewakilkan orang lain untuk menikahkan pasangan. Antara perkara yang perlu dititik beratkan adalah seperti berikut:

1. Perlu memastikan perwakilan tersebut benar-benar daripada wali.

2. Perlu jelas percakapan semasa wali mewakilkan orang lain untuk melangsungkan upacara akad nikah. Boleh juga berlaku dengan melihat kepada dokumen-dokumen yang sah mengenai kebenaran mewakilkan wali kepada orang lain.

3. Tindakan wali mewakilkan orang lain adalah kerana sukarela dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.

4. Perlu adanya saksi untuk mengesahkan perwakilan tersebut agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

5. Wakil wali tersebut mestilah memenuhi syarat menjadi seorang wali seperti mestilah seorang lelaki Islam, baligh, berakal, dan adil.

6. Jika ada prosedur Jabatan Agama Islam yang perlu diikuti seperti mengisi borang wakalah (perwakilan), maka urusan ini juga perlu dititikberatkan oleh pasangan untuk memeudahkan proses pernikahan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami