Ibadah

Bolehkah Tidur Sebentar Selepas Azan Jika Terlalu Penat?

Oleh Fizah Lee  •  12 Mar 2020  •  2 min baca

Pernah anda berasa terlalu penat dan mengambil keputusan untuk melelapkan mata seketika walaupun pada waktu itu anda telah mendengar azan berkumandang?

Ada yang mengatakan bahawa ketika itu syaitan telah bersorak kegembiraan kerana salah seorang umat Nabi Adam lebih memilih untuk tidur berbanding menunaikan solat dan menyahut panggilanNya.

Namun, tahukah anda ia adalah tidak tepat. Dalam hal ini, sama ada ia boleh jatuh kepada hukum berdosa atau tidak, terdapat dua situasi, iaitu:

#1 – Yang pertama ialah apabila anda berniat untuk tidur sejenak dan dalam masa yang sama anda yakin bahawa anda akan bangun untuk menunaikan solat tersebut sebelum masuknya waktu solat lain.

#2 – Yang kedua ialah apabila anda tidur dan anda tidak yakin dengan diri anda bahawa anda bangkit untuk mengerjakan solat. Hal ini mungkin kerana sikap anda sendiri yang ‘tidur mati’ atau mengambil masa yang lama ketika tidur.

Bagi melihat jawapan kepada situasi-situasi di atas, kita boleh melihat nukilan daripada Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari RA:

يكره النوم بعد دخول وقت الصلاة وقبل فعلها حيث ظن الاستيقاظ قبل ضيقه لعادة أو لإيقاظ غيره له وإلا حرم النوم الذي لم يغلب في الوقت

Maksud: “Makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat dan sebelum menunaikan solat tersebut jika dia mempunyai sangkaan pada kebiasaannya dia akan bangun sebelum habisnya waktu atau dikejutkan oleh orang lain. Jika tidak, haram baginya untuk tidur (tidur yang menyebabkannya terlepas waktu solat).” (Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrat al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, 1/89)

Justeru, dapat difahami bahawa tidur selepas berkumandangnya azan dan sebelum menunaikan solat adalah tidak berdosa. Namun, ia boleh jatuh hukum makruh jika seseorang itu terlepas waktu solat sehingga masuknya waktu solat yang lain dan pada asalnya dia yakin bahawa dia mampu untuk bangun solat.

Ia akan jatuh hukum haram dan berdosa apabila seseorang itu tidak bangun sehingga masuknya waktu solat yang lain (seperti contoh yang ke-#2). Apabila terjadinya hal ini, wajib ke atas seseorang itu untuk mengqada’ solatnya itu.

Tidur itu adalah rehat seketika. Tidak salah untuk tidur bagi mengecas semula tenaga yang dikeluarkan seharian dan untuk memberi kesegaran dalam solat yang ditunaikan. Namun, seseorang itu juga perlu meletakkan usaha sendiri untuk bangun dari tidur seperti mengunci jam atau meminta sesiapa yang ada mengejutkannya.

Maksud: “Tidaklah tidur itu sia-sia. Sesungguhnya yang sia-sia itu adalah sesiapa yang tidak menunaikan solat sehingga datangnya waktu solat yang lain.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban, no. 1460)

Tuntasnya, Allah Maha Pengampun dan Mengetahui akan niat-niat yang tersembunyi di hati hamba-hambaNya. Niatkanlah tidur itu sebagai rehat sejenak dan berusahalah untuk bangun semula bagi melaksanakan kewajipan dan ibadah yang ditetapkan.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami