Oleh Fizah Lee • 10 Mar 2020 • 3 min baca
lafaz istirja’ adalah kalimah Inna lillahi wa innaa ilaihi raaji’un. Ia lafaz yang sering kita ucapkan apabila dilanda musibah sama ada ke atas diri sendiri atau orang lain.
Jumhur ulama melalui tafsir al-Qurtubi bersepakat mengatakan bahawa kalimat ini tidak digunakan sebelum zaman Nabi Muhammad SAW. Seperti yang dinyatakan oleh Imam Said bin Zubair;
Maksud: “Kalimat ini belum diberikan kepada seorang nabi pun sebelum nabi kita (Muhammad SAW). Andaikan sudah diketahui Yaakub, tentu baginda tidak akan mengucapkan: “Duhai duka citaku terhadap Yusuf.” (Tafsir Al-Qurthubi, 2/176)
Allah menjadikan kalimat ini sebagai sandaran kepada orang-orang yang ditimpa musibah dan untuk perlindungan buat mereka yang sedang dilanda ujian.
Mafhum: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualan kami kembali.” (Surah Al-Baqarah, no. 2:155-156)
Ia merupakan tauhid dan pengakuan kita sebagai hamba terhadap kekuasaan Allah serta pengakuan kita sendiri bahawa suatu hari nanti kita akan dimatikan dan dibangkitkan semula. Sebagaimana semua urusan kita di akhirat nanti adalah milik Allah, maka begitu juga dengan urusan kita di dunia.
Adapun, banyak kebaikan yang diganjarkan kepada seseorang yang reda dan mengucapkan lafaz istirja’ ini seperti dikurniakan keberkatan dan pahala kepadanya.
Allah juga akan mengganjarkannya dengan hikmah yang lebih baik di atas musibah yang ditimpanya. Dalam hadis dari Ummu Salamah RA, Nabi SAW bersabda:
Maksud: “Apabila ada seorang muslim yang mengalami musibah, lalu dia mengucapkan kalimat seperti yang Allah perintahkan: Inna lillahi wa innaa ilaihi raaji’un. Allah telah memberikan kepadaku pahala di atas musibah dan akan menggantikanku dengan sesuatu yang lebih baik.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 918)
Sering kita dengar manusia menyalahgunakan lafaz ini, iaitu apabila berlaku kematian sahaja. Namun, apabila dilanda musibah lain seperti kemalangan, sakit atau rumah yang dimasuki perompak, tidak ramai yang akan mengucapkan lafaz ini.
Sedangkan lafaz ini bukan hanya khusus terhadap kematian, namun di atas semua kesusahan, ujian dan juga musibah yang sedang tertimpa.
Adapun, jika haiwan peliharaan telah hilang atau mati, bolehkah seseorang itu mengucapkan lafaz ini? Menurut Imam Al-Qurtubi, musibah ialah setiap perkara yang menimpa manusia dan boleh menyakiti mereka.
Justeru, apabila kematian atau kehilangan haiwan peliharaan yang disayangi seperti kucing, lembu atau ayam – maka ia dikira musibah ke atas seseorang dan dibolehkan ke atasnya untuk mengucapkan lafaz tersebut.
Jika haiwan yang mati tersebut bukan haiwan peliharaan atau haiwan yang haram, maka tidak perlu mengucapkan istirja’.
Sebagai contoh, anda melihat ular yang mati di tengah jalan dan kematiannya itu boleh menyelamatkan nyawa manusia kerana ia adalah haiwan berbisa yang boleh membahayakan, maka tidak perlu diucapkan lafaz tersebut. Bahkan, ia bukan sebuah musibah kepada anda.
Adapun, menurut penjelasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah, jika kematian tersebut boleh mengingatkan kita kepada kematian dan kepada Allah, maka tidak mengapa untuk mengucapkan lafaz tersebut.
Wallahu a’alam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.