Ibadah

Adakah Sampai Pahala Jika Bersedekah Bagi Pihak Si Mati

Oleh Fizah Lee  •  14 Feb 2020  •  3 min baca

Harta yang telah Allah ganjarkan kepada kita belum tentu akan menjadi rezeki kita sepenuhnya. Mungkin ia akan menjadi rezeki peminta sedekah di jalanan, mungkin juga ia akan menjadi rezeki adik-adik kita di rumah.

Golongan ilmuwan menyebut bahawa, rezeki yang berada dalam poket kita itu akan menjadi milik kita sepenuhnya apabila kita bersedekah di jalan Allah.

Mengapa? Kerana ia akan menjadi saham kita di akhirat kelak. Setiap apa yang telah kita keluarkan di jalan Allah mahupun yang boleh memberi manfaat kepada semua orang, maka ia adalah yang harta dan simpanan kita yang akan digunakan di akhirat kelak.

Disebabkan itu, terdapat sebuah hadis sahih yang sangat terkenal, iaitu amalan manusia akan terputus kecuali tiga perkara dan salah satunya ialah sedekah.

Jika manusia menyedari akan kuasa sedekah dan ajaibnya pahalanya yang akan membantu kita di akhirat kelak, pasti berduyun-duyun manusia akan merebut ganjaran sedekah.

Walau bagaimanapun, buat mereka yang telah meninggal dunia, adakah dibolehkan untuk kita bersedekah bagi pihak mereka? Fenomena ini tidak asing lagi apabila wujud anak-anak atau sahabat handai sendiri yang akan menyalurkan sedekah kepada anak yatim atau golongan yang memerlukan dengan niat pahalanya ke atas si mati.

Kebiasaannya, mereka akan bersedekah dengan menggunakan harta si mati dan ada juga yang menggunakan duit sendiri dengan diniatkan ke atas mereka.

Dalam hal ini, jumhur ulama telah berbahas bagi merungkai isu ini dengan berhati-hati kerana permasalahan ini melibatkan dua alam yang berbeza.

#1 – Pahala Tidak Sampai Kepada Si Mati

Sebahagian ulama berpendapat bahawa tidak sampai pahala sedekah kepada si mati kerana ia telah dilakukan selepas seseorang itu meninggal dunia. Bahkan, sedekah itu bukan dilakukan olehnya atau melalui wasiat yang ditinggalkan, namun dilakukan oleh orang lain.

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Mafhum: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Surah An-Najm, 53:39)

Al-Hafizh Ibn Katsir RA berkata – “Sebagaimana dosa seseorang itu tidak dapat dipindahkan kepada orang lain, maka hal yang sama terhadap pahala yang juga tidak dapat dipindahkan kepada orang lain. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Hanafi sebagaimana dinukilkan oleh Az-Zubaidi dalam Syarah Ihya’ ‘Ulumuddin.

#2 – Pahala Sampai Kepada Mayat

‘Aisyah RA pernah meriwayatkan sebuah hadis daripada Baginda SAW yang menyebut perihal Baginda membenarkan anaknya bersedekah ke atas ibunya yang telah meninggal dunia.

إن أمي افتلتت نفسها وأظنّها لو تكلّمت تصدّقت، فهل لها أجر إن تصدّقت عنها؟”. قال : “نعم، تصدق عنها

Maksud: “Bahawasanya, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (dan tidak memberikan wasiat), dan aku mengira jika ia boleh berbicara, maka ia akan bersedekah. Maka, apakah dia akan memperoleh pahala jika aku bersedekah atas namanya (dan aku pun mendapatkan pahala)? Beliau menjawab: “Ya, maka bersedekahlah untuknya).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1004)

Para ulama bersepakat bahawa boleh bersedekah ke atas nama orang yang telah meninggal sama ada dengan menggunakan harta si mati atau menggunakan harta sendiri.

Adalah digalakkan untuk si anak sendiri yang menyedekahkan harta kepada si mati kerana anak yang soleh itu adalah hasil si mati sendiri (darah daging dan didikan yang diberikan).

Jika saudara-mara atau sahabat handai juga ingin menyedekahkan dengan niat untuk si mati, maka dibolehkan juga sama ada menggunakan harta sendiri atau si mati.

Perihal ini adalah sama dengan situasi jika kita menyedekahkan bacaan Al-Fatihah atau Yaasin kepada si mati. Pahala itu juga akan jatuh kepada anda dan jumhur ulama bersepakat bahawa ia juga akan sampai kepada si mati.

Imam Nawawi juga mengulas isu ini bahawa doa orang yang sudah mati akan sampai manfaatnya kepada si mati berdasarkan beberapa dalil dan hadis. Bahkan Allah sendiri menganjurkan hambaNya untuk berdoa kepada orang yang telah tiada.

Mafhum: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kamu dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam Iman.” (Surah Al-Hashr, 59:10)

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami