Gaya Hidup

7 Pesanan Buat Anda Yang Ingin Memberi Hadiah Kepada Seseorang

Oleh Natirah Azira  •  12 Feb 2020  •  4 min baca

Hadiah dan pemberian barang sangat sinonim dengan sambutan dan perayaan tertentu, contohnya hari raya, majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun kelahiran, majlis aqiqah dan lain-lain. Tetapi, untuk memberi hadiah sebenarnya tidak perlu tunggu sebarang sambutan atau tarikh istimewa.

Perbuatan memberi hadiah mampu mengikat hubungan kekeluargaan dan juga persahabatan sekaligus akan mewujudkan suasana yang harmoni dalam kehidupan.

Sekarang, mari kita ikuti beberapa pesanan daripada Allah dan juga Nabi SAW berkenaan amalan memberi hadiah ini:

#1- Rasulullah SAW Biasa Menerima Hadiah Dan Membalasnya

Aisyah R.anha mengatakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيبُ عَلَيْهَا

“Rasulullah SAW biasa menerima hadiah dan biasa pula membalasnya.” (HR. Bukhari, no. 2585)

Usah hanya menjadi seorang penerima sahaja. Kata orang, perkara ini perlu ada ‘give and take’. Ada kala kita menjadi seorang penerima, ada pula masanya kita perlu menjadi seorang pemberi.

#2- Berilah Hadiah Walaupun Kecil Dan Sedikit

Hadiah yang ingin diberikan kepada seseorang tidak semestinya besar, mahal atau mewah. Berilah sesuai dengan kemampuan, serta dinilai sesuai dengan si penerima. Nabi SAW pernah memberitahu para wanita agar tetap memberikan hadiah sekalipun hanya sebahagian daripada apa yang dimasak.

يَا نِسَاءَ الْمُسْلِمَاتِ لاَ تَحْقِرَنَّ جَارَةٌ لِجَارَتِهَا ، وَلَوْ فِرْسِنَ شَاةٍ

“Wahai para wanita muslimah, tetaplah memberi hadiah pada tetangga walau hanya kaki kambing yang diberi.” (HR. Bukhari, no. 2566 dan Muslim, no. 1030)

#3- Pemberian Hadiah Akan Menimbulkan Perasaan Sayang

Apa perasaan kita apabila menerima hadiah atau sebarang pemberian yang tidak disangka-sangka? Kita pasti akan rasa diri dihargai, sekaligus mengundang rasa selesa dan perasaan positif terhadap si pemberi. Ia juga disokong oleh Nabi SAW – perbuatan saling memberi hadiah akan menimbulkan rasa sayang dan cinta.

Dari Abu Hurairah R.anhu, Nabi SAW bersabda,

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

(Tahaadu tahaabbu)

“Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.” (HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrod, no. 594 – Hadis ini dihasankan oleh Syaikh Al-Albani)

#4- Usah Meminta Kembali Hadiah Yang Diberi

Kata orang, jangan jadi ‘buruk siku’ – kita mengambil semula apa yang telah diberi kepada orang sedangkan ia telah menjadi hak mereka. Perbuatan ini juga boleh mencalar rasa percaya yang ada.

Seperti potongan hadis daripada Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas R.anhum, Nabi SAW bersabda,

لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُعْطِىَ عَطِيَّةً أَوْ يَهَبَ هِبَةً فَيَرْجِعَ فِيهَا إِلاَّ الْوَالِدَ فِيمَا يُعْطِى وَلَدَهُ وَمَثَلُ الَّذِى يُعْطِى الْعَطِيَّةَ ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا كَمَثَلِ الْكَلْبِ يَأْكُلُ فَإِذَا شَبِعَ قَاءَ ثُمَّ عَادَ فِى قَيْئِهِ

“Tidak halal bagi seseorang memberikan suatu pemberian kemudian ia memintanya kembali kecuali ayah pada apa yang ia berikan kepada anaknya (maka boleh diminta kembali)…” (HR. Abu Daud, Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah – Hadis sahih)

#5- Jangan Mengungkit-Ungkit Hadiah Yang Diberi

Perbuatan mengungkit hadiah yang diberi membawa makna seseorang itu tidak memberi dengan seikhlas hati. Tanpa sedar, dia masih rasa ‘kehilangan’ kerana barang tersebut sudah tidak lagi menjadi miliknya.

Perbuatan ini sangat ditegah dalam Islam malah disebut secara jelas dalam firman Allah di bawah.

قَوْلٌ مَعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِنْ صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ ,يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَى

“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima).” (Surah Al-Baqarah 2:263-264)

#6- Boleh Memberi Dan Menerima Hadiah Daripada Orang Bukan Islam

Tidak ada larangan untuk kita berbuat baik dengan orang bukan Islam, dengan syarat mereka bukan musuh dan tidak pula berniat buruk terhadap Islam. Maka sebarang perbuatan yang dapat mendatangkan keharmonian dalam kehidupan adalah dibolehkan termasuk amalan memberi hadiah.

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu)…” (Surah Al-Mumtahanah 60:10)

#7- 3 Jenis Hadiah Yang Tidak Boleh Ditolak

Dari Ibnu ‘Umar R.anhuma, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda,

ثَلاَثٌ لاَ تُرَدُّ الْوَسَائِدُ وَالدُّهْنُ وَاللَّبَنُ

“Tiga hal yang tidak boleh ditolak; Bantal, minyak rambut dan susu.” (HR. Tirmidzi, no. 2790. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadis ini hasan)

Malah diceritakan bahawa Nabi SAW tidak pernah menolak apabila diberi hadiah minyak wangi. Tambahan pula, memakai wangi-wangian adalah sunnah bagi lelaki.

Memberi hadiah kepada orang tidak akan mengurangkan apa yang ada pada diri kita, kerana Allah menjanjikan balasan yang lebih banyak buat orang yang suka memberi. Ganjarannya mungkin akan kembali dalam bentuk kemudahan hidup, pertolongan pada masa hadapan atau rahsia yang Allah simpan di akhirat kelak.

Sesekali keluarlah daripada kebiasaan daripada menjadi seorang penerima sahaja. Hulurkan tangan untuk memberi dan berdoalah agar pemberian tersebut dapat mendatangkan kegembiraan kepada hati orang yang menerima, menghilangkan keresahan dari masalah serta mencambahkan kebaikan yang berpanjangan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami