Inspirasi

Cara Mudah Untuk Dicintai

Oleh Natirah Azira  •  11 Feb 2020  •  3 min baca

Dalam sekian banyak nama-nama Allah yang pernah dihafal, ada satu nama yang saya rasakan sangat dekat dengan kita iaitu ‘Al-Wadud’. Ia bermaksud Maha Pencinta. Barangsiapa yang dicintai Allah akan mendapat kebahagiaan bukan hanya di akhirat malah di dunia.

Untuk dicintai oleh Allah, kita bukan hanya perlu memperbanyakkan amal ibadah sahaja, malah perlu mengambil kira hal lain juga. Antara perkara yang boleh dilakukan seperti:

#1- Hidupkan Hati Dengan Sentiasa Belajar

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Fatir 35:28)

Mencari ilmu adalah kunci untuk kita memahami sesuatu perkara lebih-lebih lagi dalam hal agama. Tidak dapat tidak, kita mesti belajar mengenali Allah melalui firmanNya, apa yang diperintahkan oleh Allah, apa yang dilarang dan juga balasan serta ganjaran yang akan Allah berikan. Dengan ilmu, kita membina asas dan tapak yang kukuh dalam beragama. Dari situ iman boleh bercambah dan disuburkan lagi dengan amal ibadah.

#2- Jadilah Seorang Manusia Yang Boleh Dijadikan Tempat Bergantung

Setiap daripada kita pasti mempunyai kelebihan dalam hal-hal tertentu. Bermakna, kita sebenarnya boleh membantu orang mengikut kelebihan dan kemahiran yang kita ada. Jika kita seorang yang suka mendengar, kita boleh menjadi pendengar yang baik untuk seseorang bercerita. Jika kita seorang yang pandai berjenaka, kita boleh menceriakan hati orang dengan jenaka tersebut.

Bantulah orang mengikut kemampuan kita. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa saudara seislam ibarat satu tubuh. Jika ada satu anggota tubuh yang sakit, maka anggota yang lain akan turut merasa sakit.

#3- Maafkan Dan Lepaskan

Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah hal yang tidak dapat dielakkan sebagai seorang manusia. Cuba fikirkan berapa kali kita lakukan kesilapan dan ingin orang memaafkan dan melupakan kesalahan kita serta merta. Mengapa? Kerana kita tidak selesa dengan rasa bersalah dalam tempoh yang lama.

Jadilah orang yang sentiasa memaafkan dengan cepat lebih-lebih lagi jika kesalahan yang dilakukan itu kecil sahaja. Seperti kata penulis terkenal, Yasmin Mogahed:

“Kadang-kadang kita sukar untuk memaafkan orang kerana kita tidak menyedari bahawa kita sendiri juga melakukan kesalahan. Kita menghabiskan masa melihat kesalahan orang kepada kita, tetapi kita tidak menyedari kesalahan yang kita lakukan kepada orang.”

Malah dalam satu hadis, Allah mengkhabarkan kepada malaikat bahawa Allah mencintai seorang lelaki yang mengunjungi sahabatnya untuk menjaga hubungan persaudaraan.

Berdoalah kepada Allah agar Allah mempermudahkan hati kita untuk memaafkan serta tidak mempedulikan rasa syak wasangka dan fikiran negatif yang kadang-kadang menerpa.

Jalan untuk menuju cinta Allah itu pelbagai – melalui ilmu, melalui amal ibadah, hubungan baik dengan orang di sekeliling dan banyak lagi. Untuk mencapai cara hidup yang sempurna sebagai seorang Muslim, usahakanlah sedikit demi sedikit untuk memperbaiki diri dalam aspek-aspek tersebut.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami