Oleh Natirah Azira • 25 Feb 2020 • 2 min baca
Kita kerap mendengar bahawa seseorang yang baru masuk Islam diibaratkan seperti bayi yang baru dilahirkan. Tidak ada cela dan dosa, ibarat kain putih yang belum dikotori oleh apa-apa.
Hal ini kerana Allah memaafkan segala dosa yang telah dilakukan sebelumnya. Jika dia sudah hidup selama 100 tahun sekalipun, dan telah melakukan pelbagai perkara – minum arak, membuat tatu dan sebagainya, namun saat dia mengucap kalimah syahadah, iaitu kalimah penyaksian bahawa Allah sahaja Tuhan yang berhak disembah dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah (nabi yang terakhir), maka segala dosa sebelumnya akan terhapus.
Malah, segala amal perbuatan baik ketika sebelum Islam juga dikira.
Hakim bin Hizam R.anhu pernah bertanya kepada Rasulullah,
“Wahai Rasulullah, apakah engkau memandang perbuatan-perbuatan baik yang aku lakukan sewaktu masa Jahiliyyah seperti sedekah, membebaskan budak atau silaturahmi tetap mendapat pahala?” Maka Nabi SAW bersabda,
“Engkau telah masuk Islam beserta semua kebaikanmu yang dahulu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Maka dari segi amalan, tidak ada kerugian sebenarnya buat mereka yang memilih untuk masuk Islam. Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang lalu malah tetap memberikan pahala atas kebaikan yang telah dilakukan.
Apabila seseorang sudah bergelar Islam, maka barulah bermula pengiraan catatan amalan kebaikan dan keburukan yang dilakukan. Bagi satu kebaikan yang sempurna, maka Allah boleh memberi balasan hingga beratus kali ganda, tetapi bagi satu keburukan yang dilakukan, ia hanya dikira sekali sahaja.
Dari Abu Hurairah R.anhu, Rasulullah SAW bersabda:
“Jika baik keIslaman seseorang di antara kalian, maka setiap kebaikan yang dilakukannya akan ditulis sepuluh kali ganda sampai tujuh ratus kali ganda. Adapun keburukan yang dilakukannya akan ditulis satu kali sampai ia bertemu Allah.” (HR. Muslim)
Malah terdapat satu kisah menarik tentang ‘Amr bin al-Asr R.anhu saat beliau ingin memeluk Islam dan berikrar di hadapan Nabi SAW.
Beliau pernah menceritakan saat beliau masuk Islam dan ingin berbaiah kepada Rasulullah SAW, beliau pernah meletakkan syarat kepada baginda agar dosa-dosanya diampunkan.
Lamtas Nabi SAW menjawab, “Apakah engkau belum tahu bahawa sesungguhnya Islam itu menghapus dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya” (HR Muslim)
Bererti, bagi sesiapa sahaja yang ingin masuk Islam, dosa yang lalu akan terhapus dan tidak lagi dikira. Sungguh besar kurnia yang disediakan buat golongan ini. Mereka tidak dibebani kesalahan pada saat hidayah Allah belum sampai ke dalam hati mereka namun saat syahadah mula meniti di bibir.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.