Gaya Hidup

Itsar Dan Kisah Tiga Sahabat Dalam Perang Yarmuk

Oleh Fizah Lee  •  7 Feb 2020  •  3 min baca

Mungkin anda pernah mendengar mengenai kisah tiga orang sahabat nabi yang terluka ketika perang Yarmuk dan masing-masing berasa dahaga dan meminta air untuk menghilangkan kehausan tersebut.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Mush’ab Az-Zubaidi bahawa kecederaan yang telah mereka alami itu sangat parah dan masing-masing sedang nazak. Mereka ialah Al-Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr.

Sahabat yang pertama, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal meminta air. Apabila diberikan kepadanya air, dia telah mendengar Suhail bin Amr meminta air dan mengadu haus. Lalu dia menyuruh agar air tersebut diberikan terlebih dahulu kepada sahabatnya.

Namun, apabila air tersebut sampai kepada Suhail, dia terdengar Al-Harits yang sedang kehausan. Lalu Suhail menyuruh agar air tersebut diberikan kepada Al-Harits terlebih dahulu. Belum sempat beliau minum air tersebut, Beliau menyedari Ikrimah yang sedang melihat ke arahnya, lalu beliau menyuruh agar diberikan air tersebut kepada Ikrimah.

Belum sempat air tersebut sampai kepada Ikrimah, ternyata ketiga-tiga mereka telah pun menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat menghilangkan haus mereka. (Hadis Riwayat Ibnu Sa’ad dalam at-Thabaqat dan Ibnu Abdil Barr)

Kisah ini dinukilkan untuk menunjukkan bahawa cinta sahabat kepada saudara seislamnya sehingga sanggup mendahulukan orang lain walaupun masing-masing sedang dalam keadaan tenat dan amat memerlukan bantuan.

Dalam Islam, ia disebut sebagai itsar yang membawa maksud melebihkan orang lain atas dirinya sendiri. Ia merupakan salah satu amalan mulia yang sangat berat untuk dilakukan namun mempunyai kelebihan dan nilainya sendiri di sisi Allah.

Salah satu contoh yang dibawakan di atas adalah bukti bahawa kecintaan seseorang kepada saudaranya sehingga sanggup mengorbankan dirinya dengan mendahulukan saudaranya agar mereka tidak merasa kesakitan yang sama.

Walau bagaimanapun, tidak semua perkara boleh digunakan dalam itsar. Menurut penjelasan yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad bin Sholih Al-‘Utsaimin dalam kitab beliau, iaitu Syarh Riyadus Shalihin, terdapat beberapa jenis pengekelasan itsar yang dibolehkan dan juga tidak, iaitu;

#1 – Itsar Yang Dilarang

Tidak boleh mengutamakan orang lain dalam perkara wajib. Sebagai contoh, jika air yang ada untuk berwuduk hanya cukup untuk seorang sahaja sedangkan anda dan kawan anda belum ada wuduk, maka kewajipan untuk berwuduk itu jatuh ke atas anda. Maka, kawan anda itu perlu bertayammum kerana dalam situasi ini, anda yang menemukan air tersebut, maka air itu adalah milik anda.

Namun, jika wujud kekangan seperti anda terluka atau tidak boleh terkena air, maka situasinya berubah dan anda dibolehkan untuk bertayammum dan memberikan air kepada kawan anda untuk berwuduk.

#2 – Sebahagian Ulama Menghukumkan Makruh

Menurut pendapat sebahagian ulama, makruh hukumnya mengutamakan orang lain dalam perkara-perkara yang sunnah.

Sebagai contoh, jika anda sudah berada di saf pertama untuk solat. Namun, anda memberikan saf tersebut kepada orang lain dengan alasan untuk mendahulukan mereka dan anda berpindah ke saf belakang.

Menurut perbahasan ulama, ia membawa maksud bahawa seseorang itu telah membenci kebaikan. Namun, jika anda memberikan saf tersebut kepada ayah anda (kerana anda bimbang sesuatu terjadi kepadanya disebabkan oleh masalah kesihatan), maka adalah tidak mengapa.

#3 – Yang Dibolehkan

Dalam perbincangan ulama, dibolehkan untuk mengutamakan orang lain dalam perkara selain ibadah seperti mendahulukan memberi makan atau mengutamakan tempat duduk di dalam LRT dan sebagainya.

Perkara seperti ini bahkan akan memberikan ganjaran dan kemuliaan di atas kebaikan yang telah anda lakukan.

Mafhum: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.” (Surah Al-Insan, 76:8)

Kesimpulan

Dibolehkan untuk mengutamakan orang lain dalam sesuatu perkara bergantung kepada situasi yang dialami. Ia bukan bermaksud anda menjaga hati seseorang, namun ia lebih kepada perasaan anda terhadap situasi dan orang tersebut.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami