Keluarga

Bolehkah Abang Susuan Menjadi Wali Nikah Adik Perempuan?

Oleh Natirah Azira  •  31 Jan 2020  •  2 min baca

Wali bermaksud teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Ia merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan yang semestinya tidak dapat dielakkan.

Kita maklum bahawa wali terdekat bagi seorang gadis adalah ayahnya, atau datuknya atau adik beradiknya yang lelaki. Senarai turutan wali-wali yang lain adalah sebagaimana berikut:

1. Bapa Kandung.
2. Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
3. Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
4. Adik Beradik Lelaki Sebapa.
5. Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
6. Anak Saudara Lelaki Sebapa.
7. Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
8. Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
9. Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
10. Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
11. Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
12. Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
13. Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
14. Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
15. Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
16. Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
17. Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
18. Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
19. Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
20. Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
21. Wali Hakim.

Hukum Kekeluargaan Dengan Anak Susuan

Bagaimana pula jika seseorang perempuan dibesarkan dalam keluarga bukan kandung. Adakah ayah atau abang susuannnya menjadi wali baginya?

Apabila seseorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya, bayi itu sudah menjadi anak susuan bagi perempuan itu. Manakala suaminya pula dikira sebagai bapa susuan. Keadaan ini akan menyebabkan isu aurat dan juga hubungan kekeluargaan berubah.

Contohnya anak susuan haram berkahwin dengan ibu susuan dan keturunannya, seperti keturunan ibu sendiri. Manakala hubungan antara saudara susuan pula sama seperti adik-beradik kandung.

Seorang abang susuan pula boleh melihat saudara perempuan susuannya sebagaimana saudaranya sendiri, boleh tinggal di dalam satu rumah yang sama dan boleh bermusafir dengannya melebihi tiga hari.

Hukum Saudara Lelaki Menjadi Wali Buat Adik Susuannya

Namun dalam urusan wali nikah, seorang ayah susuan atau abang susuan tidak boleh menjadi wali kepada adik perempuan susuannya. Hal ini kerana situasi nasab tetap tidak sama.

Perkara ini ada disebut oleh Dr Muhammad Zuhaili dalam kitabnya bahawa proses penyusuan anak susuan tidak diambil kira dalam urusan wilayah (wali) kerana tidak terdapat dalil yang sabit ke atas hukum kekeluargaan bagi bahagian penyusuan. (Lihat: Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 4/327)

Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami