Oleh Baha'uddin Hamizan • 17 Jan 2020 • 7 min baca
Dua hari yang lalu saya terbaca di dalam Twitter, tentang seseorang mengemukakan idea bahawa terdapat nama-nama tertentu yang mempunyai maksud yang boleh mendatangkan kesan buruk seperti penyakit misteri dan nasib malang.
Apa yang mengejutkan saya ialah idea tersebut diterima oleh sesetengah orang, berikutan ramainya yang retweet hingga mencecah ribuan orang.
Isu yang lain pula ialah sikap sebahagian masyarakat yang langsung tiada empati mahupun simpati. Apabila ada orang yang hidupnya susah dan sakit, kita datang tanpa sebarang bantuan terus sahaja kata “nama kamu ini bawa nasib malang”. Tidak pun fikir perasaan orang yang susah itu, sungguh miskin akhlak sikap yang diamalkan ini.
Apa pun, Mufti Wilayah Persekutuan di dalam tulisannya bertajuk “Irsyad Al-Fatwa #242: Menukar Nama Kerana Nama Terlalu Berat Untuk Ditanggung”, telah pun menjawab dengan baik kepercayaan sebegini.
لاَ طِيَرَةَ
Tiada thiyarah (kepercayaan sial) di dalam Islam.
(Riwayat Muslim)
Antara salah satu cara untuk mengelakkan rasa bersalah apabila melakukan kesalahan ialah menggunakan hujah ‘orang lain pun sama’.
Sewaktu dalam pengajian Sarjana Muda, terdapat subjek Organizational Behaviour yang membantu saya untuk memahami sifat atau perangai orang di tempat kerja.
Apa yang menarik minat saya ialah apabila belajar tentang bias dalam psikologi. Dalam hal ini, istilah yang tepat ialah ‘false consensus effect’.
Maksudnya ialah persepsi berat sebelah yang menganggap orang lain turut mempunyai pandangan seperti kita, walhal sebenarnya tidak. False consensus effect ini telah dikaji oleh pengkaji pakar psikologi seperti Lee Ross, David Greene, dan Pamela House.
Merujuk kepada subjek yang saya pelajari, contoh kepada situasi tersebut ialah seorang yang selalu datang lewat ke tempat kerja dan memberikan alasan bahawa orang lain turut lambat juga. Namun, mereka yang lambat itu bukan selalu dan hanya dua tiga orang sahaja yang terlibat. Jadi, alasan yang diberikan pekerja itu adalah disebabkan oleh false consensus effect.
Beberapa hari lalu timbul isu di dalam Facebook bahawa sebuah portal yang mengetengahkan idea tentang konservatif, Melayu, dan Islam telah terpalit dengan Whatsapp group yang selalu bercerita tentang topik lucah. Apabila saya selidiki, bukan semua individu yang bekerjasama dengan portal tersebut terlibat dalam isu ini, tetapi hanya terdapat beberapa orang yang terbabit.
Jadi adalah tidak adil untuk kita terus menghukum individu lain sebagai pelaku dan rakan subahat, sedangkan hanya individu tertentu sahaja melakukannya.
Baik, berbalik pada isu tersebut, apa yang mengecewakan ialah kenyataan oleh orang kuat portal tersebut. Beliau mengatakan bahawa orang lelaki normal mempunyai Whatsapp group yang bergurau tentang topik ‘masuk air’ tersebut.
Selain itu, hujah yang diguna pakai ini ialah contoh kepada false consensus effect, sepertimana yang dikatakan oleh Jim Taylor, bekas Profesor Madya School of Psychology di Nova Southeastern University, apabila menjelaskan tentang jenis-jenis persepsi berat sebelah dalam psikologi.
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini”. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.
(Riwayat Bukhari)
Seharusnya apabila telah melakukan perbuatan salah, perkara itu tidak dihebohkan apatah lagi diberikan hujah bahawa orang lain turut melakukannya.
Ini hanya merumitkan keadaan dan menjadikan perbuatan salah itu normal, atau kita gelar sebagai normalisasi. Sedangkan apa yang salah hendaklah dihalang, bukannya memberi alasan kemudian ramai-ramai memerli orang lain yang mengecam perbuatan itu.
Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.
(Riwayat Muslim)
Daripada dua isu di atas, saya terbaca satu perkongsian seseorang tentang hujah bahawa walaupun mulut kita jahat tetapi hati kita baik itu adalah tidak betul.
Hal ini mengingatkan saya kepada dialog di dalam filem Batman Begins yang berbunyi begini,
“It’s not who you are underneath, it’s what you do that defines you.”
Ayat ini memberi maksud bahawa apa yang kita lakukan itulah yang mencerminkan sifat diri kita sebenar, bukannya memberi alasan bahawa dalam hati kita sebenarnya baik dalam masa sama kita melakukan kesalahan.
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik. Ini kerana, apabila kamu melakukan sedemikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (kepadamu).”
(Surah Fussilat ayat 34)
Parker Palmer pernah menulis,
“the human soul doesn’t want to be advised or fixed or saved. It simply wants to be witnessed — to be seen, heard and companioned exactly as it is.”
Apabila seseorang mengalami masalah atau kedukaan dalam hidup, tidak menjadi tugas kita untuk terus memberikan pendapat jika tidak diminta.
Namun kebanyakan orang gemar datang dan mencuba untuk membetulkan masalah yang dihadapi orang lain dalam cara yang merepek. Contohnya dalam isu di awal perkongsian tadi – menasihati orang supaya mengelak daripada menggunakan nama Balqis.
Dari situ, mereka menganggap perbuatan tersebut sudah membantu orang lain agar tidak memilih nama anak dengan nama Balqis supaya dapat menghindarkan diri dari situasi malang.
Walhal apa yang mereka tidak nampak ialah perilaku tersebut tidak membantu langsung untuk meringankan beban.
Justeru, kebanyakan dari kita kekurangan sifat empati. Ramai yang tergesa-gesa menghakimi apabila sesuatu isu muncul, seolah-olah siapa yang paling cepat mengecam dialah juara.
Kita tidak kisah tentang perasaan orang yang menjadi tumpuan komen yang dilontarkan itu kerana pada kita, dia bukan seseorang yang kita kenal.
Namun, insan tersebut mempunyai hak terhadap diri kita meskipun kita tidak kenal dengannya disebabkan perbuatan salah kita pada dia.
Rasulullah SAW pernah bertanya para sahabat:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.”
Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, Namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan.
Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”
(Riwayat Ahmad)
Terdapat satu lagi istilah psikologi berkenaan persepsi berat sebelah yang kebanyakan orang secara tidak sedar mengalaminya. Ia dipanggil sebagai self-serving attribution bias. Menurut Dr Alice Boyes, ahli psikologi klinikal, contoh situasi ini ialah kita anggap kejayaan kita adalah hasil usaha kita semata-mata. Sebaliknya jika kita gagal, kita menganggap ia adalah kesilapan dari pihak lain.
Dalam bahasa yang mudah, kita memberikan alasan terhadap apa yang kita lakukan tetapi terus sahaja menghakimi orang lain jika perkara yang sama berlaku kepada insan tersebut.
Persepsi berat sebelah ini telah dibincangkan dan dikaji oleh ilmuan dalam bidang psikologi, yang mana kita secara tidak sedar akan bersikap seperti ini apabila berlaku sesuatu dalam persekitaran hidup kita.
Antara cara untuk merawat sikap ini ialah dengan melatih diri mempraktiskan self-compassion dengan cara bersedia menerima adanya kekurangan diri, malah berusaha untuk perbaikinya. Sebab kita tidak sedar sikap berat sebelah ini timbul kerana manusia mempunyai defense mechanism (teknik mempertahankan diri) secara semulajadi apabila berhadapan sebarang situasi yang kurang menyenangkan. Semoga tulisan ini berikan kebaikan kepada para pembaca sekalian.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.