Ibadah

Kelebihan Membaca Doa Selepas Wuduk

Oleh Natirah Azira  •  10 Jan 2020  •  2 min baca

Kesempurnaan solat bermula daripada wuduk. Antara amalan yang dianjurkan ialah mengucapkan bismillah ketika mula wuduk, membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali, serta membaca doa selepas mengambil wuduk.

Malah disebutkan dalam satu hadis bahawa orang yang membaca doa selepas wuduk akan dibukakan baginya pintu syurga.

Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ

Maksudnya: Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa: “: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ” kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu. (Riwayat Muslim, no.234, Abu Daud no. 169, al-Nasa’ie no. 148, Ibn Majah, no.470 dan al-Tirmizi, no.55)

Para ilmuwan mentafsirkan maksud pintu-pintu syurga dibuka dalam hadis di atas kepada dua bahagian iaitu:

Pertama, Allah akan menyampaikan seseorang ke pintu tersebut dengan cara mempermudahkan dia untuk melakukan kebaikan. Boleh jadi seseorang itu akan berasa ringan untuk melakukan amal soleh, serta mudah pula menjauhi dosa dan keburukan.

Bukankah Allah telah berjanji bahawa orang-orang yang mempunyai tekad dan bersungguh-sungguh memenuhi kehendak agama, maka Allah akan memimpin mereka ke jalanNya.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-Ankabut 29:69)

Kedua, makna futihat (فتحت) iaitu ‘telah dibuka’ di sini bermaksud akan dibuka pada hari kiamat nanti.

Fi’il madhi atau kata kerja yang menunjukkan ‘waktu lepas’ di sini bukan bermaksud peristiwa yang telah berlalu tetapi menunjukkan penekanan dan penegasan (tahqiq) bahawa ia pasti akan terjadi.

Bermakna, ia suatu jaminan dari Allah bahawa Dia akan membuka pintu syurga buat orang yang memelihara kesempurnaan wuduk seterusnya melengkapkan pula ia dengan doa. Raihlah peluang yang disediakan oleh Allah sekalipun kecil, semoga ia menjadi jalan kemudahan buat kita di akhirat kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami