Gaya Hidup

Selami Rahsia Surah Dhuha Yang Boleh Mengurangkan Kesedihan

Oleh Natirah Azira  •  9 Jan 2020  •  4 min baca

Surah Dhuha diturunkan saat Nabi SAW tidak menerima apa-apa wahyu daripada Allah SWT selama enam bulan.

Keadaan itu membuatkan baginda berasa runsing. Terlintas di fikiran baginda bahawa Allah telah membenci dan tidak mahu lagi baginda menjadi seorang nabi.

Bukankah perasaan runsing dan keliru begini juga sering dialami oleh kita umat baginda? Ada waktunya kita berasa terputus hubungan dengan Allah. Tidak ada ketenangan yang diperoleh meskipun solat tidak ditinggalkan. Amalan sunat dilakukan namun seperti tidak memberikan apa-apa kesan kepada iman. Malah masalah yang dihadapi semakin menyerabutkan perasaan.

Jiwa mula tertanya-tanya, mengapa diri tidak terasa dekat dengan Allah? Adakah kerana ada dosa yang dilakukan yang membuatkan Allah murka?

Ketika perasaan begini dialami sendiri oleh baginda, Allah menurunkan surah yang istimewa ini iaitu Surah Ad-Dhuha, untuk membuat baginda dan umat seluruhnya merasa dekat kembali denganNya. Ayuh kita perhati dan selami makna di sebalik ayat-ayat dalam Surah Ad-Dhuha ini.

وَالضُّحَىٰ

Demi waktu Dhuha (cahaya terang yang memancar pada waktu pagi)

وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ

Dan malam apabila ia sunyi sepi.

Orang yang sedang bersedih hati selalunya menghabiskan masa pada waktu siang untuk berkurung atau tidur, manakala waktu malam pula dihabiskan dengan berjaga dan tidak dapat tidur lena.

Justeru katakanlah pada orang-orang yang sedang bersedih dan murung, bangunlah melihat cahaya matahari yang memancar dengan terang pada waktu pagi. Saksikan hari baru sudah bermula.

مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ

Bahawa Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum Musyrik)

Ketika itu orang-orang Musyrik yang memusuhi Nabi SAW kerap mengejek dan berkata bahawa Allah telah meninggalkan baginda. Hal itu membuatkan baginda bersedih hati.

Allah tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya kesemuanya. Meskipun banyak dosa dan kesalahan yang dilakukan, Allah sudi untuk mengampunkan.

وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ

Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

Allah turut mengingatkan bahawa kesudahan kehidupan di akhirat itu adalah lebih baik bagi manusia berbanding di dunia ini. Tidakkah Dia pernah menyebutkan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah ujian buat manusia, malah diumpamakan hanya sebagai permainan.

وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda- berpuas hati.

Sekalipun kehidupan dunia hanya ujian – namun ia perlu dilalui sebaiknya sebelum tiba di akhirat. Allah tidak mengutuskan manusia ke dunia hanya untuk menghadapi masalah. Allah ingin memberi kita bahagia, bukan hanya di dunia malah di akhirat.

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ

Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu ia memberikan perlindungan?

Melalui ayat ini, Allah bertanya soalan yang sudah diketahui baginda – seolah- olah untuk mengingatkan semula bahawa Allah telah melindungi dan menjaga baginda sejak daripada kecil, saat lemah dan tidak berdaya.

Pasti ada di antara kita yang menghadapi nasib yang sama. Siapakah yang telah menjaga kita, mengatur nasib dan jalan kehidupan jika bukan Allah?

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ

Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al Quran)?

Masihkah kita mengingati bahawa baginda pernah berlari pulang ke rumah saat mendengar suara malaikat buat pertama kali. Baginda yang dalam ketakutan dan kekeliruan diselimutkan oleh isterinya Saidatina Khadijah.

Bermula daripada saat itu, baginda mencari kebenaran dan menerima wahyu demi wahyu.

Perjalanan kita dalam beragama juga bermula dari kosong. Perlahan-lahan kita belajar tentang agama sewaktu kecil – belajar membaca Al-Quran, cuba memahami maksudnya, bertanya ibu bapa tentang soalan berkaitan kepercayaan.

Apabila meningkat dewasa, kita belajar lagi daripada orang yang berilmu. Sedikit demi sedikit Allah memandu dan memberi petunjuk kepada kita dalam kehidupan.

وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ

Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?

Kita juga pernah melalui waktu-waktu sukar – kesempitan wang, tidak dapat membayar hutang, tidak dapat memberi makan kepada anak-anak – namun di akhirnya Allah menghadirkan rezeki dan melapangkan kehidupan. Kehidupan kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ

Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;

Justeru Allah mengingatkan agar kita tidak melayani orang yang kurang beruntung daripada kita contohnya anak yatim piatu dan orang susah dengan kasar. Jika kita sedang bersedih, maka pandanglah orang lain yang lebih kekurangan – yang melalui masalah lebih berat, maka itu akan menambah syukur.

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

Dan di akhirnya, setelah menyedari sekian banyak nikmat yang telah Allah nyatakan dalam ayat-ayat sebelumnya, maka zahirkanlah kesyukuran dengan memuji Allah.

Demikian ubat kepada kesedihan yang mampu kita dapati daripada surah yang istimewa ini. Percayalah bahawa perasaan runsing dan sedih tidak akan kekal lama. Ia akan sentiasa bersilih ganti.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami