Hukum

Solat Isyak, Sebaiknya Dilewatkan Atau Diawalkan?

Oleh Fazli Abdullah  •  9 Jan 2020  •  4 min baca

Setiap umat Islam diperintahkan dan diwajibkan untuk mengerjakan solat fardu lima waktu sehari semalam. Bermula dari waktu subuh sehinggalah ke waktu isyak. Begitulah perjalanan ibadah seharian kita.

Solat adalah amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah S.W.T berdasarkan hadis ini, daripada Abu Hurairah R.A., Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya.”Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi

Tetapi ada sebahagian yang musykil berkenaan solat Isyak. Adakah afdal dilaksanakan pada awal waktu atau afdal dilewatkan?

Hal ini kerana tempoh untuk mengerjakan solat Isyak adalah panjang berbanding solat-solat fardu yang lain. Sebelum itu, mari kita ikuti beberapa hadis yang membincangkan tentang solat di awal waktu.

Solat Di Awal Waktu

Banyak hadis yang menyuruh kita untuk segera mengerjakan solat fardu di awal waktu. Di sini disertakan dua hadis yang berkaitan dengan solat di awal waktu. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Solatlah pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.”Hadis riwayat al-Tirmizi

Pada hadis yang lain, Rasulullah S.A.W pernah di tanya,

“Amalan apakah yang paling utama?” lalu baginda S.A.W menjawab: “Solat pada awal waktu.”Hadis riwayat al-Tirmizi

Tahulah kita bahawa kita digalakkan untuk mengerjakan solat di awal waktu. Kita dianjurkan untuk segera menunaikan solat kerana kita tidak tahu mungkin ajal kita tiba ketika kita belum sempat melaksanakan kewajipan solat.

Sedangkan masa yang ada kita sia-siakan begitu sahaja. Nauzubillah minzalik. Namun, ada juga hadis-hadis yang menyuruh untuk melewatkan solat fardu. Benarkah? Mari teruskan bacaan untuk dapatkan jawapan.

Hadis Berkaitan Melewatkan Solat Fardu

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tangguhlah sehingga sejuk bagi solat Zohor kerana kekuatan panas (matahari) adalah dari bahang neraka Jahanam.”Hadis riwayat al-Bukhari

Pada hadis yang lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya aku tidak risau akan memberatkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka untuk melewatkan Isyak sehingga satu pertiga malam atau separuh malam.”Hadis riwayat al-Tirmizi

Dengan adanya beberapa hadis seperti di atas maka ada pelbagai pandangan para fuqaha mazhab mengenai waktu afdal untuk solat fardu. Di sini disertakan empat pandangan mazhab yang utama:

#1- Mazhab Hanafi
Sebaik-baik solat adalah di awal waktu kecuali solat Subuh dan solat Asar. Mereka berpandangan solat Subuh lebih afdal ditunaikan ketika hampir terang bagi meramaikan jemaah solat.

Manakala solat Asar pula afdal dilewatkan kerana dapat mengerjakan solat sunat sebanyak mungkin sebelum solat Asar.

#2- Mazhab Maliki
Sebaik-baiknya solat di awal waktu tidak kira secara berjemaah ataupun bersendirian. Afdal diawalkan solat kecuali ketika menunggu jemaah sampai.

#3- Mazhab Syafie
Disunatkan untuk solat di awal waktu kecuali solat Zohor. Mereka berpandangan solat Zohor disunatkan untuk menunggu sekejap sehingga cuaca menjadi redup dan kurang panasnya.

#4- Mazhab Hanbali
Afdal solat pada awal waktu kecuali solat Isyak dan solat Zohor. Solat Isyak afdal dilewatkan sekiranya tidak membebankan makmum dan berdasarkan hadis ini. Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Seandainya tidak membebankan umatku nescaya aku akan memerintahkan mereka untuk mengakhirkan Solat Isyak hingga sepertiga atau pertengahan malam.”Hadis Riwayat At-Tirmizi

Solat Isyak Afdal Dilewatkan Atau Diawalkan?

Untuk pengetahuan bersama, ada tiga perbezaan pendapat tentang waktu berakhirnya solat Isyak iaitu:

Pendapat Pertama- Solat Isyak tamat pada hujung 1/3 pertama malam.
Pendapat Kedua- Solat Isyak berakhir pada separuh malam.
Pendapat Ketiga- Solat Isyak tamat sehingga terbit fajar sadiq.

Pendapat muktamad di dalam mazhab Syafie mengenai waktu berakhirnya solat Isyak adalah apabila terbitnya fajar sadiq. Adapun waktu ikhtiyar (terbaik; terpilih) untuk menunaikan solat Isyak ialah sehingga sepertiga malam, dalam pendapat lain, sehingga pertengahan malam.

Kemudian waktu jawaz iaitu waktu dibolehkan solat Isyak berlangsung adalah sehingga sebelum waktu subuh. Ada juga sebahagian ulama yang berkata makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana untuk keluar daripada khilaf ulama. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/167).

Oleh itu, menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, sekiranya solat Isyak dilewatkan adalah bertujuan pembelajaran seperti majlis ilmu di masjid dan surau, ataupun menjangkakan bahawa akan adanya jemaah yang lebih ramai akan datang maka dibolehkan untuk dilewatkan solat Isyak.

Namun, jika tidak ada sebarang keperluan untuk melewatkan solat maka lebih baiklah dan afdallah untuk mengerjakan solat Isyak pada awal waktu. Tidak perlu bertangguh jika tidak ada apa-apa keperluan yang penting yang mahu dilakukan.

Semoga bermanfaat dan mendapat kepastian. Waallahu a’lam (Dan Allah yang lebih mengetahui).

Nota – Untuk mengetahui lebih penjelasan boleh rujuk laman web di bawah.

Rujukan :

1. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah
2. Solat Pada Awal Waktu
3. Hukum Melewatkan Solat Isyak Untuk Qiamullai
4. Solat Diawal Waktu
5. Bilakah Waktu Tamat Solat Isyak


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami