Gaya Hidup, Hukum

Apa Itu Sumpah Laknat?

Oleh Natirah Azira  •  20 Dec 2019  •  4 min baca

Sumpah laknat di dalam Islam dipanggil sumpah Mubahalah (مباهلة). Ia berasal daripada perkataan ‘bahlah’ atau ‘buhlah’ yang bererti laknat.

Penggunaan kalimah ‘mubahalah’ menunjukkan ada dua pihak yang saling berdoa dengan bersungguh-sungguh supaya Allah menjatuhkan laknat kepada pihak yang berdusta dan mengingkari kebenaran.

Proses angkat sumpah tersebut perlu dihadiri oleh kedua-dua belah pihak yang saling bersumpah dan berdoa kepada Tuhan agar menjatuhkan laknat kepada pihak yang menipu atau mengingkari kebenaran.

Peristiwa Mubahalah Pada Zaman Rasulullah

Dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW pernah menggunakan kaedah ini apabila disuruh oleh Allah melalui firmanNya, dalam Surah Ali Imran, ayat 61.

“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali-Imran 3:61)

Pada waktu itu kaum Nasrani dari Najran datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya kepada baginda tentang Nabi Isa.

Rasulullah SAW telah menerangkan kepada mereka bahawa Nabi Isa adalah pesuruh Allah, manusia biasa dan telah menyampaikan kebenaran tentang kenabian Nabi SAW, namun tidak dipersetujui oleh kaum Nasrani tersebut.

Maka turun ayat di atas yang menyarankan Nabi SAW agar mengajak mereka bermubahalah. Kedua-dua pihak telah menghadiri proses tersebut. Namun ketika Nabi SAW ingin mengangkat sumpah agar menjatuhkan laknat ke atas mereka yang tidak menerima kebenaran, lantas mereka membatalkan hasrat untuk bersumpah lantaran takut akan bencana dan laknat Allah yang akan menimpa.

Kata pemimpin kaum Nasrani yang hadir ketika itu:

“Ketahuilah wahai kaum Nasrani, sesungguhnya wajah-wajah yang kulihat sandainya mereka bersumpah atas nama Allah agar melenyapkan gunung, nescaya Allah melenyapkannya. Oleh kerana itu, berhati-hatilah kalian dengan mubahalah melawan mereka. Sesungguhnya kalian pasti akan binasa dan takkan ada lagi kaum nasrani yang akan tersisa setelah itu di atas muka bumi ini”

Cara Sumpah Mubahalah Bedasarkan Dalil

Berdasarkan dalil dan juga peristiwa mubahalah yang diadakan oleh Rasulullah SAW dalam kisah tersebut, para ilmuwan menggariskan cara sumpah mubahalah seperti di bawah:

1. Sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.

2. Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat dan hadir secara berdepan.

3. Sumpah mestilah menyebut nama Allah atau sifatnya.

4. Ia dimulakan dengan lafaz “Wabillahi, Watallahi” atau salah satu antara lafaz tersebut.

Sumpah Yang Diterima Pakai Oleh Perundangan Di Malaysia

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa mengikut perundangan Syariah di Malaysia, antara amalan sumpah yang diguna pakai adalah dalam kes-kes berikut:

1. Pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, nusyuz, atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

2. Kes Harta (Mal) yang berkait dengan urusan nafkah, penjagaan, pembahagian atau tuntutan harta sepencarian dan lain-lain.

Manakala bagi kes jenayah pembunuhan contohnya, ia hanya diuruskan oleh Mahkamah Sivil sahaja. Sumpah laknat tidak diiktiraf sebagai sokongan bahan bukti bahkan tidak mendatangkan sebarang merit bagi sesuatu kes mahkamah sivil.

Sumpah Biasa Sudah Mencukupi

Menurut Ustaz Zaharuddin lagi, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes jenayah adalah sumpah biasa sahaja, bukan sumpah laknat.

Namun perlu difahami bahawa, sumpah biasa ini sepatutnya dilakukan selepas ‘bayyinah’ – iaitu segala urusan perbicaraan dilakukan dan bukti telah dikemukakan di mahkamah.

Selain itu, tidak perlu untuk menjadikan Al-Quran sebagai alat untuk bersumpah, namun cukup hanya dengan menyebut nama Allah sebanyak tiga kali. Ia hanyalah tradisi masyarakat Melayu dan tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW ataupun para sahabat selepas itu.

Cara Bersumpah (Biasa)

Menurut Amalan Sumpah Mahkamah Syariah di Malaysia, setiap sumpah mestilah dilakukan dengan cara berikut:

1. Sumpah hendaklah berdasarkan kehendak dan niat pihak yang menuntut sumpah atau hakim yang mengarahkan sumpah.

2. Sumpah dibuat berdasarkan setiap isu atau perkara yang dipertikaikan.

3. Pihak yang menuntut pihak lain bersumpah hendaklah memastikan pihaknya tidak mempunyai keterangan lain.

4. Hakim hendaklah memberi peringatan dan amaran berhubung dengan implikasi sumpah yang dilaksanakan mengikut hukum syarak.

5. Lafaz sumpah hendaklah dimulakan dengan Wallahi, Wabillahi, Wa Tallahi atau sifat-sifat Allah dan dibuat di dalam bentuk yang tegas dan jelas berhubung dengan sesuatu tuntutan atau penafian.

6. Draf sumpah hendaklah disediakan oleh Hakim sebelum sumpah dilafazkan mengikut mana-mana borang yang ditetapkan.

Kesimpulan

Setelah merujuk kepada maklumat dari perspektif Islam dan juga fakta-fakta perundangan berkaitan hal ini, dapat disimpulkan bahawa sumpah laknat yang dilakukan oleh sesetengah pihak tidak diiktiraf sebagai dokumen sokongan atau bahan bukti yang mampu memberi sebarang merit bagi sesuatu kes di mahkamah. Lebih-lebih lagi sumpah itu dilakukan di luar mahkamah dan tidak mengikut prosedur mahkamah dengan betul.

Kebiasaannya sumpah laknat yang kita dengar dilakukan di masjid dan juga di hadapan khalayak hanya bertujuan untuk mendapatkan sokongan moral dan kepercayaan orang ramai.

Rujukan:

Amalan Sumpah Mahkamah Syariah
Isu Sumpah Laknat & Perlukah Dibalas Sumpah
Sumpah Mubahalah (Studi Tentang Pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Dalam Perspektif Hukum Islam)
Irsyad Al-Fatwa Ke-171: Hukum Bersumpah Dengan Al-Quran


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami